“Usia 7 Bulan, Anak Aku Disahkan Menghidap Pertussis!” – Isu Vaksin, Lelaki Ini Kongsi Pengalamannya.

Kredit Foto: blog.pkids.org

Kredit Foto: blog.pkids.org

Sebelum kita membaca lebih lanjut perkongsian Tuan Najib (atau lebih popular dengan nama pena: Lucius Maximus), ada eloknya jika kita tahu dengan lebih mendalam beberapa persoalan penting mengenai vaksin ini.

1. Apa Itu Vaksin?

Ramai orang yang bercerita tentang isu vaksin ini, tetapi apa sebenarnya vaksin? Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan.

2. Apa Yang Terkandung Dalam Vaksin?

Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin. Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan.

Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin. Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal (atau thimerosal). Ia mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Ia tiada kaitan dengan sebarang kesan toksik methyl merkuri. Methyl merkuri adalah toksik kepada sistem saraf. Thiomersal yang telah digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ia berbahaya. Setelah mengkaji bukti epidemiologi terkini berkaitan thiomersal dan profil farmakokinetiknya, Jawatankuasa Penasihat Sedunia bagi Keselamatan Vaksin di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah membuat kesimpulan bahawa tiada bukti kesan toksik merkuri ke atas bayi, kanak-kanak atau orang dewasa yang terdedah kepada thiomersal dalam vaksin.

Tambahan pula, banyak kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan kecacatan sistem saraf atau perkembangan seperti autisme disebabkan oleh penggunaan vaksin yang mengandungi thiomersal. Bahan penstabil berfungsi mencegah komponen vaksin dari melekat di dinding botol vaksin. Ia mengekalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin di dalam keadaan dan suhu yang pelbagai. Gelatin dan lactose-sorbitol adalah contoh bahan penstabil.

Adjuvan ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan tindakbalas system ketahanan tubuh terhadap vaksin. Adjuvan yang sering digunakan adalah garam aluminium (dikenali sebagai alum). Pengambilan aluminium dari vaksin adalah lebih rendah berbanding dengan pengambilan harian dari makanan atau ubat-ubatan seperti antasid. Penelitian semua kajian yang ada berkaitan vaksin difteria, tetanus dan pertussis yang mengandungi aluminium (sama ada secara berasingan atau kombinasi) menunjukkan bahawa tiada bukti garam aluminium di dalam vaksin menyebabkan sebarang kesan sampingan serius atau kesan sampingan jangkamasa panjang. Kemerahan dan bengkak pada tempat suntikan selalunya berkait dengan vaksin yang mengandungi aluminum berbanding vaksin yang tiada kandungan aluminium, namun kesan ini selalunya ringan.

3. Bagaimana Vaksin Berfungsi?

Tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semulajadi bagi melindungi nya daripada jangkitan virus dan bakteria. Walau bagaimanapun, mekanisma pertahanan ini boleh dirangsang dengan suntikan vaksin. Antigen dalam vaksin bertindak merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu. Ia menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan. Kesan maksimum sesuatu vaksin lazimnya akan bermula selepas dos terakhir vaksin tersebut diambil mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

4. Bukankah daya lawan jangkitan yang diperoleh secara semulajadi lebih baik dari imunisasi?

Bagi menghasilkan perlindungan (imuniti) secara semulajadi terhadap penyakit tertentu, seorang kanak-kanak perlu dijangkiti oleh bakteria atau virus tersebut, dan sembuh sepenuhnya dari jangkitan itu. Dalam proses tersebut, kanak-kanak berisiko untuk mengalami komplikasi jangkitan yang boleh mengancam nyawa. Vaksin, sama ada yang berunsurkan bakteria atau virus yang telah dimatikan atau dilemahkan memberi perlindungan setaraf dengan perlindungan (imuniti) semulajadi hasil dari jangkitan, tanpa perlu melalui risiko komplikasi jangkitan.

Vaksin menggunakan tindakbalas semulajadi tubuh terhadap jangkitan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun). Maka sekiranya seseorang terdedah kepada patogen tertentu pada masa hadapan, sistem imun individu tersebut akan ‘mengenali’ patogen tersebut dan menghasilkan tindakbalas yang berkesan bagi menyekat jangkitan tersebut atau mengurangkan keterukan gejalanya.

5. Adakah Islam Membenarkan Imunisasi?

Imunisasi adalah satu cara pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit-penyakit merbahaya yang mengancam nyawa, khususnya kanak-kanak seperti demam campak (measles), tibi (batuk kering), batuk kokol (pertussis), difteria, tetanus (kancing gigi) atau polio.

Penggunaan vaksin dalam program imunisasi bagi mengelak bahaya penyakit-penyakit yang berkenaan adalah diharuskan oleh syarak selaras dengan Kaedah Fiqhiyyah iaitu درء فاسد الم مقدم على جلب صالح الم) menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan). Sesuatu kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar sekiranya tidak dicegah daripada awal.

Keharusan ini juga adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t dalam surah Al- Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. Program imunisasi ini bukan lagi merupakan kehendak seorang individu, tetapi imunisasi kini menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.

Poin-poin diatas dengan jelas telah menjawab beberapa persoalan asas yang timbul dalam fikiran setiap ibubapa. Sekarang, apa yang ingin dikongsikan oleh Tuan Lucius Maximus mungkin akan menyedarkan kita betapa pentingnya pengambilan vaksin ini.

 

Ramai yang tak tahu, sebenarnya bila aku bersuara lantang tentang isu vaksin (atau panggilan lainnya imunisasi), aku bercakap dari pengalaman.

Anak aku, Niyaz Anaqi antara bayi yang pernah menjadi mangsa penyakit berjangkit yang boleh dielakkan dengan vaksin. Semasa umur dia 7 bulan, doktor sahkan anak aku menghidap pertussis yang juga dikenali dengan nama batuk kokol, batuk 100 hari atau whooping cough.

Macam mana boleh kena? Benda ini berlaku lebih kerana inopportune atau bad timing.

Selepas genap 3 bulan maternity leave, isteri aku Fazliyana Mohd Aliterpaksa kembali bekerja dan satu-satunya pilihan yang ada untuk kami ialah untuk hantar anak kami ke nursery. Permulaannya okay, nursery yang kami pilih pun elok tempatnya tapi tak berapa lama selepas itu anak aku demam.

Kali pertama demam, suhu badan Niyaz melonjak sehingga 40 Celsius. Doktor tidak ada pilihan melainkan memasukkan anak aku ke dalam wad. Itu insiden pertama anak aku kena warded.

Selepas pulih, kami kembali menghantar Niyaz ke nursery. Pada masa ini akibat demam kali pertama hari tu, Niyaz sudah ketinggalan dalam jadual vaksin yang sepatutnya. Dan seperti dijangka, tak berapa lama selepas itu anak aku demam dan kali ini berserta pula dengan batuk yang tidak berhenti. Sekali lagi Niyaz masuk wad dan discaj selepas demamnya hilang dan batuknya surut. Kerana tiada pilihan lain, aku hantar dia kembali ke nursery.

Insiden ketiga berlaku ketika umur Niyaz hampir 7 bulan dan adalah yang paling kritikal. Semuanya bermula dengan demam juga dan kemudian diikuti batuk yang semakin kronik. Aku bawa anak aku ke hospital dan kali ini doktor membuat ujian darah dan X-ray untuk mendapatkan kepastian. Kau bayangkan bayi umur 7 bulan kena ambil darah, betapa sakitnya dia rasa. Dan ujian X-ray yang membunuh banyak sel dalam badan tak sepatutnya dilakukan ke atas seorang bayi.

Hasil X-ray, doktor dapati ada bahagian paru-paru anak aku yang telah dijangkiti. Tak cukup dengan ujian darah dan X-ray, doktor buat keputusan untuk ambil sampel kahak pula. Sekali lagi kau bayangkan bayi umur 7 bulan dijolok hidung dengan tiub getah. Mahu tak menjerit budak tu.

Keputusan dari semua ujian itu, doktor sahkan Niyaz menghidap pertussis. Menggelabah juga aku Google apa itu pertussis, selepas merasa tak cukup puas hati dengan penerangan doktor yang panjang lebar.

Kali ketiga masuk hospital ini adalah yang paling lama, hampir 2 minggu juga. Rawatan yang diberikan selain dari ubat demam, selsema dan batuk, ialah antibiotik walaupun sebenarnya ini tidak digalakkan untuk bayi. Tapi nyawa yang menjadi pertaruhan di sini dan kau tak ada pilihan lain. Selain dari itu, Niyaz juga menjalan proses fisioterapi seperti tepukan belakang dada yang dinamakan percussion therapy selain dari kena jemur bawah lampu khas untuk cairkan kahak, lebih kurang.

Alhamdulillah, mungkin sebab tindakan pantas kami merujuk pada pihak hospital berserta doa kepada Tuhan, Niyaz pulih dari pertussis. Dalam janji temu susulan selepas discaj, doktor berikan suntikan vaksin terkini untuk pastikan imunisasi Niyaz up to date.

Aku dan isteri, atas saranan doktor, buat keputusan selepas itu untuk berhenti menghantar anak kami ke nursery dan sebaliknya serahkan pada ibu mertua aku untuk dijaga, sehinggalah kami akhirnya mendapat pembantu rumah. Aku ingatkan kes ini selesai begitu, tapi rupanya tidak.

Selang beberapa minggu selepas discaj, aku dapat panggilan dari Kementerian Kesihatan. Aku, isteri dan anak aku dikehendaki pergi ke klinik kerajaan terdekat untuk melaporkan diri. Rupanya pihak hospital (swasta) dimana Niyaz dimasukkan buat laporan kepada kementerian kesihatan kes pertussis anak kami dan ianya dipandang serius. Serius sebab pertussis adalah penyakit berjangkit dan ia tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang mempunyai kadar vaksin atau imunisasi yang tinggi.

Terkena juga aku macam Niyaz, nurse kerajaan jolok hidung aku untuk ambil sampel. Trauma aku dibuatnya.

Nasib kami baik, seluruh keluarga disahkan bebas dari pertussis. Kalau tak, kami kena kuarantin.

Aku tak tahu dari mana puncanya Niyaz terkena jangkitan pertussis. Tapi apa yang pasti selepas aku berhenti hantar anak aku ke nursery, terdengar berita beberapa bayi lain dari nursery itu jatuh sakit dan juga dimasukkan ke hospital.

Kemungkinan besar ada pembawa di kalangan bayi atau kanak-kanak di nursery tersebut. Ada bermacam senario yang mungkin menjadi pencetus kenapa anak aku terkena pertussis di nursery itu. Salah satu kemungkinan ialah Niyaz masih terlalu kecil dan dos vaksin yang diterimanya belum lengkap sedangkan di nursery ada bayi atau kanak-kanak yang lebih berumur. Mereka ini walaupun mungkin telah diberikan vaksin tetapi tidak mustahil mereka masih boleh menjadi pembawa penyakit. Mungkin juga ada penghuni nursery yang mempunya severe allergy ke atas vaksin, lalu langsung tidak pernah disuntik. Nursery itu juga mempunyai sejumlah besar bayi atau anak golongan ekspatriat, yang mungkin mempunyai jadual imunisasi berbeza dengan anak aku. Dan, tidak mustahil juga ada bayi atau anak dari ibu bapa yang anti vaksin.

Apa yang pasti, herd immunity gagal dicapai di kalangan penghuni nursery dan beberapa bayi menjadi mangsa termasuk Niyaz.

Atas pengalaman yang berlaku kepada aku dan isteri menjadikan kami antara penyokong kuat polisi vaksin atau imunisasi dan betapa perlunya ia diwajibkan terutama sekali untuk kemasukan nursery atau sekolah. Tambahan lagi aku dan isteri satu masa dahulu juga menerima vaksin dan syukur setakat ini kami tidak pernah dimasukkan wad dari kecil hinggalah dewasa kerana sakit. Sedangkan anak kami, Niyaz yang belum genap setahun umurnya sudah tiga kali keluar masuk hospital.

Kami bernasib baik kerana Niyaz sembuh dan berpeluang melengkapkan jadual vaksin yang ditetapkan. Alhamdulillah dia sekarang membesar dengan sihat bagai johan. Kalau sakit pun sekali sekala, sekadar demam dan selsema.

Dan atas apa yang berlaku kepada keluarga aku sendiri itulah aku tak boleh terima mereka yang memilih jalan anti vaksin, yang bukan saja merisikokan anak mereka sendiri tetapi juga anak-anak orang lain.

Macam aku katakan, vaksin itu untuk mencapai herd immunity dan ianya tidak jauh beza dengan fardu kifayah.

Shares