9 Tips Untuk Menguruskan Anak Bagi Ibu Yang Bekerja Dari Rumah

04-green-streepsAkibat dari peningkatan kos sara hidup serta risiko keselamatan anak di pusat asuhan, ramai ibu-ibu hari ini (termasuk yang pernah punyai pendapatan tinggi) memilih untuk bekerja dari rumah.

Walaupun kerja dari rumah bunyinya agak seronok dan menggembirakan, namun hanya yang melaluinya sahaja memahami keadaan sebenar. Ia mungkin tidak seindah seperti yang dibayangkan. Apatah lagi punya beberapa anak untuk diuruskan.

Saya ingin berkongsi pengalaman 3 tahun menguruskan perniagaan dari rumah di samping menguruskan 3 orang anak.

1. Tempat Khusus Untuk Bekerja

Sediakan ruangan khas untuk bekerja. Beritahu anak dan suami supaya jangan mengganggu barangan dan dokumen di ruang tersebut. Lebih bagus jika mempunyai bilik berasingan agak dokumen-dokumen perniagaan anda tidak terganggu.

2. Masa Bekerja Yang Khusus

Rancang jadual anda sebaiknya. Sepertimana mereka yang bekerja di pejabat, kita juga perlu punya masa kerja yang khusus. Kelebihan bekerja di rumah ialah kita boleh susun sendiri waktu kerja yang paling sesuai dengan jadual kerja lain. Pastikan waktu bekerja tersebut digunakan dengan optimum.

Beritahu anak dan suami jadual kerja ini, supaya mereka tahu dan hormati waktu kerja anda. Kalau anda biasa bekerja di pejabat 8 jam sehari, jangan terkejut jika anda perlu bekerja 20 jam sehari apabila bekerja sendiri ye ?

3. Masa Untuk Anak

Luangkan waktu bermain atau beraktiviti bersama anak. Tak perlu lama, 30 minit-1 jam sehari sudah mencukupi jika masa tersebut digunakan sebaiknya. Ini adalah untuk mengelakkan anak anda rasa terpinggir. Lakukan perkara-perkara menyeronokkan dengan mereka.

Lebih baik jika anda tetapkan waktu yang sama setiap hari. Kanak-kanak lebih suka melakukan sesuatu yang berjadual.

Anak-anak saya sering punya 1001 alasan untuk tidak tidur tengah hari. Jadi saya gunakan “playtime” sebagai ganjaran selepas mereka tidur petang. Jam 5.30-6.30 petang adalah waktu bermain bersama setiap hari.

4. Tidak Perlu Jadi Superwoman

Suri rumah selalu dikaitkan dengan rumah yang kemas tersusun sepanjang masa. Mungkin lebih teruk lagi jika diharapkan untuk menyediakan 5 jenis hidangan makanan untuk setiap kali makan seisi keluarga.

Pandangan saya, sesekali tak salah. Malah kita tentu lebih gembira menyediakan makanan kegemaran untuk seisi keluarga.

Keluarga dan suami, khasnya perlu faham bahawa isteri bekerja dari rumah bermaksud isteri masih bekerja cuma tak perlu keluar rumah. Tapi masih ada urusan lain selain dari kerja-kerja rumah dan urusan anak-anak. Jadi timbunan kain yang tak berlipat masih normal bagi isteri yang bekerja dari rumah.. Hehe..

Saya akan mengemas rumah (mainan anak-anak), menyapu mengemop selepas aktiviti bermain petang. Masa setengah jam cukup untuk mengemas rumah comel saya. Suami biasanya akan sampai di rumah jam 7 petang. Jadi sekurang-kurangnya ketika suami pulang, rumah dan anak-anak berada dalam keadaan yang menyenangkan. ?

5. Ganjaran Kepada Anak Dan Suami

Anak dan suami sudah tentu orang yang paling banyak berkorban demi mencapai impian kerja dari rumah kita. Jadi berikan ganjaran kepada mereka secara berkala. Belanja makan di luar atau belikan sesuatu yang mereka suka tanda terima kasih.

Tak lupa juga kedua ibubapa yang sudah pasti mendoakan kita. Dengan menunjukkan “hasil” dari kerja kita, mereka tentunya akan mendoakan lebih lagi untuk kejayaan kita.

6. Bangga Dengan Bisnes

Ada dikalangan rakan yang berniaga atau bekerja dari rumah sering merendahkan diri apabila ditanya tentang kerja. Kita sepatutnya berbangga dengan usaha yang dijalankan. Walaupun ia masih kecil, tidak mustahil satu hari nanti perniagaan kecil ini menjadi besar.

Tidak kurang ramainya rakan-rakan seangkatan yang menjana pendapatan 5-6 angka dengan hanya bekerja dari rumah.

7. Persediaan Bahan Memasak

Memasak untuk keluarga akan menjadi sesuatu yang mencabar jika anda punyai anak-anak dan kerja yang banyak untuk difikirkan.

Saya selalu memilih hujung minggu untuk sediakan bahan-bahan memasak seperti kisar semua bahan-bahan masakan, siang ikan ayam dan simpan mengikut saiz 1 masakan, malah memasak beberapa lauk utama untuk dibekukan.

Persediaan hujung minggu ketika suami di rumah dan membantu menjaga anak-anak dapat menjimatkan masa dan memudahkan di hari-hari yang sibuk.

8. Me Time

Badan kita juga perlu rehat setelah setiap hari pelbagai perkara perlu dilakukan; menjaga anak-anak, suami dan rumah tangga malah di tambah dengan urusan-urusan perniagaan yang tentunya memeningkan kepala.

Beri diri sendiri waktu gembira. “Me time” yang mudah seperti lepak 1-2 jam di cafe kegemaran seorang diri tentu akan membantu anda “recharge” tenaga untuk kembali beraksi yang terbaik buat keluarga tersayang. Saya selalu rasa “Me Time” adalah faktor penting “to keep me sane”.. Hehe..

9. Komunikasi

Sangat penting untuk berkomunikasi dengan jelas kepada anak-anak dan suami tentang jadual kerja anda. Susun jadual kerja mengikut kesesuaian anda sekeluarga.

Ini adalah keistimewaan bekerja dari rumah. Fleksibiliti. Anda pilih waktu kerja yang sesuai. Jadi, ibu-ibu bijaklah mengatur masa ye.

 

Jika ibu berminat untuk melihat jadual harian saya, ibu boleh emelkan kepada hai@ohsemmama.com dengan tajuk “Jadual Mama”. In Sha Allah, saya akan kongsikan jadual harian saya. Semoga ia bermanfaat untuk ibu-ibu rancang jadual harian ibu pula?

Shares