Panduan Lengkap dan Berkesan Cara Perah Susu Ibu!

downloadSelepas habis tempoh cuti bersalin, ibu harus kembali ke tempat kerja. Akan muncul golongan ibu yang mula membeli susu formula untuk diberikan kepada bayi dan menghentikan penyusuan susu ibu sebaik sahaja mula bekerja. Dua alasan tipikal yang sering kita dengar adalah:
[+] tidak berkesempatan memerah susu di tempat kerja atau
[+] tidak pandai memerah susu

Bayi sepatutnya diberikan susu ibu sehingga berusia 6 bulan kerana mereka masih belum dapat menghasilkan antibodi sendiri, justeru perlu memperolehnya daripada susu ibu. Bayi yang diberi susu formula terlalu lama dikhuatiri akan cepat jatuh sakit berbanding bayi yang diberi susu ibu.

Untuk ibu bekerja, waktu yang paling sesuai untuk mengumpul stok susu adalah ketika cuti berpantang. Kebanyakan ibu yang benar-benar ingin memberi bayinya susu badan sahaja boleh mengumpul lebih daripada 2 stok sehari. Ibu akan teruja melihat jumlahnya bila ibu perlu keluar bekerja nanti.

Namun, yang menjadi masalah bukannya ibu tidak mahu mengumpul stok susu atau memberi susu badan kepada bayi. Ada ibu yang tidak tahu bahawa susu badan boleh diperah, apalagi cara untuk memerahnya.

Memerah susu dengan tangan

Memerah susu dengan tangan adalah kaedah terbaik semasa 2 ke 3 hari selepas bersalin. Lebih mudah memerah susu dengan tangan jika payudara masih lembut berbanding semasa payudara bengkak atau tegang. Memerah susu dengan teknik ini membolehkan ibu mengawal sendiri tahap mana ibu selesa untuk pemerahan.

Teknik perah susu dengan tangan

1. Bersihkan tangan dengan sabun dan sediakan bekas yang bersih

2. Duduk dalam keadaan selesa (berdiri pun tiada masalah)

3. Untuk merangsang pengeluaran susu, ibu boleh mengurut payudara dari atas ke bawah, tuam dengan tuala suam dan gentel sedikit puting anda. Selain itu ibu juga boleh berfikir tentang bayi sama ada dengan memerah di depan bayi atau melihat gambarnya

4. Pemerahan susu yang betul bukanlah pada puting, sebaliknya pada bahagian tisu payudara supaya kena di bahagian atas saluran susu. Jadi, tekanan perlu diberikan pada payudara di bahagian luar areola, lebih kurang satu ruas ibu jari daripada puting sehingga ibu merasakan sesuatu yang berbeza (kawasan yang terasa seperti berbiji seolah-olah simpulan tali atau bijian kacang pis). Ini adalah saluran susu. Letakkan ibu jari di situ dan jari lain mengampu di sebelah bawah payudara. Pegang payudara seperti pegangan C

5. Tekan kawasan tersebut dengan ibu jari dan jari telunjuk serentak ke belakang ke arah dada. Pengeluaran susu mungkin mengambil masa beberapa minit jika dilakukan pada kali pertama. Ulang pergerakan ini sehingga susu keluar

6. Pada permulaan, mungkin kolostrum atau sedikit susu sahaja yang keluar tetapi lama-lama banyak susu akan terpancut apabila refleks oksitosin mula berlaku

7. Ulang langkah di atas dan jika pengaliran susu semakin perlahan, ubah kedudukan jari untuk menekan saluran yang lain. Caranya ialah dengan menggerakkan jari-jemari mengikut pusing di sekeliling areola untuk mengeluarkan susu daripada semua bahagian payudara

8. Jika sudah habis susu, boleh berpindah kepada payudara sebelah lagi. Urutan lembut boleh dilakukan antara sesi pemerahan

Memerah susu dengan pam

1. Pastikan tangan dibersihkan dengan sabun dan pam sudah disteril

2. Seperti mana memerah susu dengan tangan, ibu-ibu perlu duduk dalam keadaan selesa

3. Pilih pam yang berkualiti:

  • Pam yang berkualiti tidak semestinya pam yang mahal, tetapi yang boleh meniru gaya hisapan bayi atau yang hampir serupa dengannya, iaitu sedutan awal yang pendek dan sekejap diikuti hisapan yang dalam dan perlahan
  • Jika menggunakan pam manual, cari silinder yang panjang untuk mencipta tahap hisapan yang selesa, biarkan tahap sedutan tersebut sehingga aliran susu perlahan. Jika susu sudah mengalir boleh berhenti mengepam

4. Gunakan double pump untuk menjimatkan masa dan menggalakkan pengaliran susu dengan lebih berkesan

5. Jika susu semakin sikit atau tiada yang keluar, cuba cek pam masih berfungsi dan semak teknik mengepam dan teruskan juga untuk terus merangsang

6. Pastikan ibu sterilkan pam kalau tujuan mengepam susu ialah untuk diberikan kepada bayi

7. Elakkan jenis pam manual yang jenis bola getah kerana akan merosakkan puting ibu, sukar dibersihkan dan susu yang kurang selamat untuk bayi

Tips banyakkan susu

1. Perah pada waktu malam atau menghampiri pagi (waktu dinihari) kerana lebih banyak oksitosin dirembeskan pada waktu malam, jadi pengeluaran susu juga meningkat

2. Jika ibu hanya mempunyai pam single, ibu boleh memerah atau mengepam susu sambil menyusukan bayi. Ini juga dapat meningkatkan pengeluaran susu yang lebih banyak

3. Elakkan pam satu payudara melebihi 1 jam kerana ini akan merosakkan tisu payudara

Pengalaman menyusu adalah satu pengalaman yang sangat berharga. Nikmatilah pengalaman ini, jangan disingkatkan jika ibu masih mampu dan semua ibu diciptakan Allah mampu melakukannya. Asalkan ibu jangan banyak beralasan dan just do it.

 

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 6,571 times, 1 visits today)