9 Tanda Awal Kehamilan Yang Sering Bakal Ibu Terlepas Pandang

tanda awal kehamilan

Kadang-kadang kita berasa hairan apabila ada ibu yang tidak perasan dia mengandung, sehinggalah kandungannya mencecah 6 atau 7 bulan apabila perut yang buncit semakin ketara. Memang ada sesetengah ibu yang mungkin terlalu sibuk dengan pekerjaan sehingga tidak dapat membezakan perubahan fisiologi yang berlaku kepada tubuh badannya semasa mengandung.

Walaupun tanda-tanda awal kehamilan mungkin tidak spesifik dan hampir sama dengan tanda pre-menopaus atau simptom-simptom ringan yang lain, namun amat penting untuk ibu mengesan kandungan seawal yang mungkin sebab masa tu baby perlukan zat makanan tertentu untuk pembentukan yang normal, terutamanya perkembangan otak. Pada awal kehamilan juga ibu-ibu dinasihatkan tidak melakukan aktiviti berat kerana akan menjejaskan bayi di dalam kandungan.

Apakah 9 tanda anda hamil walaupun keputusan air kencing belum positif?

1. Lewat datang haid

Lewat datang haid bagi wanita yang mempunyai kitaran haid merupakan antara satu petunjuk yang mudah. Namun petunjuk ini boleh menipu juga! Tidak jadi masalah jika anda ingin membuat ujian kehamilan selepas 1-2 minggu terlewat datang haid.

Ada wanita yang mengalami haid tidak teratur, mungkin petunjuk ini tidak memberi apa-aa makna. Namun ada ibu yang mengalami sedikit pendarahan yang berlainan daripada haid yang biasa, ini mungkin perlu diberi perhatian juga kerana ada sesetengah wanita yang mengalami pendarahan itu mungkin terjadi ketika implantasi. Apa-apa pun, periksa UPT anda untuk kepastian.

2. Sakit bahagian buah dada

Pada awal kehamilan, biasanya buah dada sediki membengkak, tak selesa atau sakit kerana terdapat perubahan hormon. Namun, ibu mungkin juga mengalami simptom ini sebelum datang haid.

Perubahan ini perlu kepada ibu mengandung sebagai persediaan untuk penyusuan. Seawal 4-6 minggu kehamilan anda mungkin rasa berdenyut atau tidak selesa pada payudara. Pastikan anda memakai bra yang sesuai untuk memberi sokongan yang sewajarnya kepada payudara anda.

3. Mabuk pagi atau sering pening dan loya

Setiap pagi berasa l0ya, pening dan tidak tahan dengan bau-bau tertentu, mungkin itu merupakan tanda yang ikut ibu sedang mengandung. Namun, ada ibu yang hanya mengalami pening-pening sahaja dan sering disalah anggap dengan perut masuk angin.

Simptom ini disebabkan peningkatan hormon yang dibebaskan oleh janin. Sesetengah ibu mengalaminya diawal kehamilan sahaja, namun ada yang mengalaminya berterusan sehingga bersalin. Jika ibu-ibu mabuk teruk hingga menyebabkan masalah dalam aktiviti seharian, rujuklah doktor untuk rawatan yang sepatutnya.

4. Keletihan

Wanita yang pada awal kehamilan akan mengadu letih yang sangat-sangat letih. Rasa letih yang sampai ke tulang dan urat saraf. Punca keletihan ini tidak diketahui namun ada yang mengaitkannya dengan peningkatan hormon progesteron.

Keletihan yang paling teruk berlaku pada trimester pertama, semakin pulih pada trimester kedua dan kembali pada trimester ketiga. Tidurlah sepuasnya sebab lepas baby lahir, kemungkinan susah mahu tidur adalah sangat tinggi.

5. Sering kelaparan

Jika tidak loya, masa tu lah ibu akan rasa lapar dan teringin menu bukan yang biasa-biasa. Ini dipanggil tempoh mengidam. Jika ibu perasan kerap ingin makan sahaja, mungkin patut cek UPT juga.

Ok sahaja jika sekali-sekala nafsu mengidam itu ditunaikan tetapi pastikan anda mengikut menu yang sesuai untuk ibu hamil.

6. Kemurungan secara tiba-tiba

Young-Woman-Having-Morning-Sickness

Ada orang biasanya dia happy go lucky, tapi tiba-tiba moody dan suka sangat sentap! Ini adalah kerana perubahan hormon yang drastik dalam badan wanita. Suami mestila faham.

Walaupun keadaan ini normal, anda harus ambil perhatian jika anda rasa emosi yang berlebihan sehingga mengganggu aktiviti harian dan anda rasa putus harapan mungkin anda perlu dapatkan nasihat doktor yang merawat atau pakar mental dengan segera.

7. Kerap membuang air kecil

Walaupun tidak minum banyak air, ibu tetap perlu kencing dengan kerap. Itu fenomena biasa kerana pada awal kehamilan, hormon progesteron yang tinggi akan mengembangkan salur darah dan lebih banyak darah yang akan mengalir ke buah pinggang sebab tu lebih banyak air kencing dihasilkan. Ataupun ini mungkin juga simptom kencing kotor.

Semakin besar usia kandungan, masalah ini akan hilang sendiri namun akan kembali pada trimester ketiga kerana uterus yang membesar akan menolak pundi kencing, jadi ruangnya akan semakin sempit.

8. Sembelit

Sembelit ketika hamil adalah disebabkan oleh peningkatan hormon progesteron untuk persediaan rahim supaya lebih kaya dengan pembuluh darah. Hormon ini menyebabkan usus besar menjadi lebih lembut dan statik supaya lebih banyak zat makanan dapat diserap kepada bayi.

Disebabkan banyak zat makanan dan air yang diserap, itulah jadinya susah untuk membuang atau tidak lawas.

9. Anak jadi makin manja

Bagi ibu yang sudah mempunyai anak, ibu akan perasan anak itu akan menjadi lebih manja atau suka buat kita marah untuk menarik perhatian. Macam tahu-tahu sahaja nak dapat adik tidak lama lagi, hehe. Tiada penjelasan saintifik, mungkin emosinya dapat merasakan kedatangan ahli baru dalam keluarga.

Pengesanan kandungan dan mendapat penjagaan antenatal dengan segera adalah amat penting untuk memastikan tahap kesihatan ibu dan bayi terjaga. Jadi, jangan abaikan tanda-tanda yang diberi oleh badan.

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 9,988 times, 8 visits today)