Munajat Ramadan – Doa Yang Menyentuh Hati. Amalkanlah Sepanjang Bulan Ini!

quran-618158_1920

Kawan-kawan, sebagai ibu kadangkala kita tidak berpeluang untuk ke masjid untuk menunaikan solat sunat terawih secara berjemaah. Anda mungkin punya anak kecil yang masih belum sesuai dibawa ke masjid dan hal-hal rumahtangga yang perlu diuruskan. Tetapi tidak mengapalah, mudah-mudahan Allah kira pengorbanan yang anda lakukan sebagai ibadah juga.

Kadangkala, apabila anak mulai tidur, kerja-kerja rumahtangga sudah siap barulah anda punya peluang untuk solat sunat terawih. Alhamdulillah, Allah mengizinkan kita untuk menunaikan ibadah sebaiknya. Saya tertarik untuk berkongsi potongan doa yang bagi saya sangat menusuk kalbu. Saya terfikir untuk kongsikan kepada anda semua, kerana mungkin ada yang sedang tercari-cari doa yang sesuai untuk diamalkan pada bulan ramadan ini.

Doa ini telah dikongsikan oleh Sdr Musa Bin Muhammad di laman Facebooknya. Terima kasih atas perkongsian saudara, moga ramai yang mendapat manfaat.

 

Doa selepas Tarawih yang menusuk kalbu.

Selepas solat Witir tadi, imam membacakan doa dalam Bahasa Melayu. Memang amat jarang sekali kita dengar imam baca doa dalam Bahasa Melayu. Amat tersentuh, menitis air mata apabila imam membacakan doa. Sewaktu moreh saya tanya imam, ambil mana doa tadi, JAKIM ke, Majlis Agama ke fikir saya dalam hati? Dia kata dia buat sendiri. Lalu saya minta dia hantarkan doa tersebut untuk tatapan kita semua.

MUNAJAT RAMADHAN.

Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim…

Dalam dakapan Ramadhan yg suci ini, dengan rasa rendah diri, kami yg kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepadaMu ya Allah, semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan yg Maha Mendengar.

Ya Fattahu Ya ‘alim…

Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar daripada semua masalah yang membelenggu kami, bukakanlah hijab kepada kami yang tak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirmu. Ya Allah, takdirkanlah yangg baik-baik utk diri kami.  Janganlah kau menguji kami pada apa yg tidak mampu kami lalui. Bukakanlah pintu-pintu rahmatMu utk kami ya Allah.

Ya Allah Rabbul Jalil…

Sejahterakanlah untuk kami dengan kesihatan yang baik, supaya dengannya kami dapat beribadah kepadaMu. Ya Allah, ampunkanlah segala dosa kami, kerana kami terlalu banyak berdosa kepadaMu Ya Allah. Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat padaMu bila ditimpa sakit, kami lupa kepadaMu ketika senang, kami ingat kepadaMu bila datang kesusahan. Kami lupa kepadaMu disaat kami gembira, kami ingat kepadaMu ketika sedih dan kecewa, kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula mengingatiMu ketika usia sudah tua, justeru ya Allah, ampunilah semua dosa kami. Berilah kekuatan kepada kami untuk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami daripada mengingatimu ya Allah.

Ya Allah…Ya Rahman..Ya Rahim…

Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami, setiap titik susu ibu yang mengalir dalam diri kami, kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke syurgaMu. Ya Allah…ya Rahman, pada setiap keringat yang mengalir pada tubuh ayah kami dalam mencari rezeki kepada keluarga kami, kau gantikanlah dengan keampunan yang membawanya ke syurgaMu ya Allah. Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan. Justeru kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yg istimewa di syurgaMu ya Allah.

Ya Allah…

Kami juga memohon ampun untuk kaum kerabat kami, sahabat-sahabat kami dan guru-guru kami yg terlebih dahulu pergi meninggalkan kami ke alam barzakh. Golongkanlah mereka dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai. Apabila tiba pula giliran kami menuju barzakhMu, maka Kau ambillah kami dalam keadaan yg baik-baik; dalam keampunan dan rahmatMu Ya Allah.

Ya Allah…Ya Azizz…

Kurniakanlah kepada kami jiwa yang tenang dan tenteram. Hiasilah hati kami dengan sifat syukur, redha, sabar, ikhlas, amanah dan bertanggungjawab. Kau jauhkanlah kami daripada sifat ujub, riak, takabbur, fitnah, mengadu domba, sangka buruk dan khianat.

Ya Rashid…Ya rahman…Ya Rahim…

Jika ada dikalangan kami mereka yang diuji dengan kesusahan, maka kau bantulah mereka, permudahkanlah urusan mereka, jika ada di kalangan kami mereka yg bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jalan keluar kepada mereka, jika ada di kalangan kami sedang berhajat dengan keperluannya, maka tunaikanlah hajat mereka, dan cukupkanlah keperluan mereka, jika ada di kalangan kami mereka yg diuji dengan sakit, maka kau sembuhkanlah mereka Ya Allah agar dapat beribadah bersama kami. Jika ada dikalangan kami mereka yang derhaka kepada ibubapa atau terkurang dalam melayani mereka, maka kau ampunilah mereka, jadikanlah kami anak-anak yg taat dan berbakti, sesungguhnya Engkaulah Tuhan yg Maha Mendengar dan Mengasihi.

Ya Allah Ya Malikal Mulk.

Ya Razak…Ya Fattahu Ya ‘Alim…

Kurniakan kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati dan jadikanlah dengan rezeki itu kami semakin dekat denganMu. Sebaliknya, janganlah kau jadikan kami daripada golongan yang lupa diri setelah mendapat kurniaannMu.

Ya Allah…

Bantukanlah kami dalam menjalankan urusan agama kami. Elokkanlah urusan dunia kami, yang padanya tempat kami mencari kehidupan. Elokkanlah urusan akhirat kami, yang padanya tempat kami akan kembali untuk selama-lamanya. Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada kami, dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kepada kami dari segala kejahatan, Sesungguhnya kami ingin kembali kepadaMu dengan jiwa yang tenang.

Ya Allah…Ya Zal Jalali Wal Ikram…

Ya Allah, janganlah kau jadikan ramadhan ini sebagai yang terakhir buat kami, temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan dtg.

Tapi, andai ini Ramadhan terakhir buat kami, jadikankanlah puasa kami sebagai puasa yg Kau rahmati, jadikanlah ramadhan ini paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayangmu ya Allah. Jadikanlah ramadhan ini sebagai penghapus dosa-dosa kami. Ya Allah, temukanlah kami dengan lailatul qadr. Pilihlah kami dikalangan hambaMu yg dpt beramal di malam al-Qadr. Ya Allah, terimalah amalan kami, terimalah taubat kami, ampunkanlah segala dosa kami, amankanlah kehidupan kami disana nanti yg kekal abad. Kurniakanlah kepada kami syurgamu yang maha luas nikmatnya.

Aamiin3 ya rabbal’aalamiin.

Moga bermanfaat untuk semua! Jangan lupa konsgikan dengan yang lain.

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 10,025 times, 1 visits today)