Bagaimana Menghilangkan Rasa Takut Nak Bersalin. Baca Tips Ini.

baby-sitter-1140891_1920

Tentu sekali anda buat yang pertama kali atau kedua bahkan mungkin yang ketiga kalinya hendak bersalin merasakan perasaan ini. Debaran. Ketakutan.

Bayangkan sahaja, melahirkan seorang manusia ke atas dunia ini bukan tugas yang mudah. Dan ia adalah tugas yang menyakitkan, penuh dengan kejutan dan berita-berita yang tak tersangkakan. Justeru, untuk merasa takut menghadapi momen ini adalah perkara yang tidak pelik.

Antara ketakutan yang kebiasannya dialami oleh ibu yang berada di trimester akhir kehamilan adalah:

Takut Tidak Mampu Bertahan

Hm. Memang, inilah risikonya kawan. Anda sendiri harus selalu bersedia untuk mengorbankan diri anda untuk manusia lain yang ingin bernafas di atas dunia. Tetapi janganlah bimbang kawan, sentiasalah percaya dan yakin dengan kuasa yang Maha Esa. Dia menciptakan tubuh seorang wanita dengan sistem yang begitu kompleks (bahkan seluruh ciptaannya kompleks) dan tentu sekali boleh dan mampu menampung kesakitan ini.
Dan insyaAllah, letakkanlah kepercayaan anda kepada pengamal perubatan yang bertungkus lumus untuk menyelamatkan anda dan bayi. Sentiasalah percaya bahawa mereka akan melakukan yang terbaik buat anda dengan bantuan alat-alat perubatan yang moden.

Takut Sakit

Bagaimana untuk saya sampaikan kebenaran dengan perkara yang paling indah?
Kawan, sejauh mana pun saya menggubah ayat-ayat puitis tetaplah saya tidak dapat menyembunyikan kebenaran bahawa proses melahirkan anak ini memang menyakitkan. Bahkan boleh dikira sangat menyakitkan. Dan setiap ibu yang melahirkan itu memberikan respons terhadap kesakitan itu dengan cara yang berbeza, sehingga sukar untuk kita membuat perbandingan relatif antara satu sama lain.

Tetapi sentiasalah percaya kawan bahawa kesakitan itu akan dibalas Tuhan dengan kejadian yang sungguh indah sekali. Dengan kelahiran penyeri rumahtangga, dan kurniaan daripada perbendaharaanNya yang sungguh luas. Andai anda mencapai satu tahap sehingga tidak tahan untuk menanggung kesakitan, janganlah bimbang kerana akan ada doktor dan jururawat yang setia menemani dan melayan anda. Beritahulah kepada mereka, insyaAllah mereka akan membantu memberikan ubat-ubatan yang sepatutnya.

Takut Dipersalahkan

Semua manusia pun tahu bahawa seorang ibu yang sanggup dan memilih untuk melahirkan anak adalah ibu yang luar biasa. Ya, anda ibu yang luar biasa. Dan kesalahan-kesalahan kecil anda yang tidak pun anda inginkan tidak akan menjadi bahan perbualan orang lain. Percayalah.
Mungkin anda akan termuntah di tengah jalan, atau mungkin berteriak pada jam 12 tengah malam. Tetapi jangan bimbang, semua orang faham dan tidak akan menyalahkan anda. Percayalah.

Untuk membantu mengurangkan rasa takut menjelang hari bersalin ini, amalkanlah tips-tips yang kami sertakan di bawah ini:

Yakin Diri

Jika anda sedang bersiap-siap untuk melahirkan bayi yang pertama maka tidak ada nasihat yang lebih baik yang dapat saya berikan melainkan mengatakan kepada anda bahawa ianya memang menakutkan. Tetapi percayalah, sebesar mana pun ketakutan yang anda bina dalam diri, ia tidak akan membantu anda dan masa melahirkan bayi itu tetap akan tiba.

Jadi apa yang perlu anda lakukan?

Yakinlah kepada diri sendiri. Bagaimana untuk yakin? Dapatkanlah informasi mengenai kelahiran, kekuatan seorang wanita dan pelbagai lagi informasi berkaitan daripada internet, mereka yang berpengalaman dan doktor itu sendiri. InsyaAllah, apabila anda mula yakin kepada kemampuan anda, sedikit demi sedikit, ketakutan itu akan menjauh daripada anda.

Berceritalah

Setiap masalah yang diluahkan, insyaAllah dengan kuasa yang Maha Esa akan rasa seperti berkurang daripada pundak pemikiran kita. Dan itu juga berlangsung buat ketakutan. Ketakutan adalah masalah.
Maka, kongsikanlah tentang ketakutan anda, kelemahan anda kepada orang yang anda percaya. Boleh jadi orang yang anda percaya dan rapat itu adalah ibu anda, ahli keluarga anda atau rakan-rakan anda. Ceritalah kepada mereka, jangan pernah memendamnya seorang diri kerana apabila dipendam, ketakutan itu akan menjadi lebih besar dan besar sehingga menimbulkan pelbagai masalah yang tidak diingini.

Fahami Proses Bersalin

Apabila kita tahu bab apa yang keluar dalam peperiksaan, maka tentu sekali kita akan lebih bersedia. Dan apabila kita mengetahui struktur dan format soalan yang akan ditanyakan, tentu sekali ia akan membuatkan kita tersenyum dan menghalau terus rasa takut untuk menghadapi peperiksaan. Kan?
Begitu juga dengan proses bersalin ini. Apabila anda mengetahui prosesnya dengan lebih detail, maka anda akan lebih yakin dan bersedia untuk menghadapinya. Dapatkanlah informasi mengenainya daripada berbagai-bagai sumber yang ada.

Semoga bermanfaat buat anda semua. Jangan lupa kongsikan dengan rakan lain, mereka mungkin memerlukannya.

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 2,008 times, 1 visits today)