Doktor Ini Kongsikan 5 Faktor Mengapa Bayi Batuk Berkahak. Mesti Baca!

baby-983990_1920

Saya sedang membayangkan, bagaimana agaknya jika suautu hari nanti anak saya diuji dengan penyakit ini (batuk berkahak). Tentu nafasnya akan tercungap-cungap, tentu dia tidak akan selesa untuk bermain, dan seorang bayi yang jatuh sakit tentulah mendukacitakan sama sekali meski dia tidak pernah tahu untuk menceritakan kesakitan yang mereka alami.

Agaknya, itulah yang dirasakan oleh Puan Azzah Rosli yang bertanyakan soalan ini,

Anak saya baru berusia 24 hari. Macam mana hendak hilangkan kahak yang membuatkan anak saya batuk-batuk? Saya kasihan melihat dia tercungap-cungap batuk.

Bacalah jawapan daripada Dr. Wan Khairina Wan Mohd Nowalid, MBBS (Adelaide), M.Med (Paediatrics) UKM, Pakar Perunding Pediatrik dari Pantai Hospital Ampang ini. Semoga apa yang anda baca ini memberi ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat kepada anda. Jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan yang lain ya!

Bayi sering menghasilkan bunyi pernafasan yang berbagai-bagai. Sebahagian bunyi tersebut tidak diiringi tanda-tanda amaran, manakala sebahagian lagi mungkin memerlukan nasihat perubatan. Saluran pernafasan bermula dari hidung hingga ke bronkiol terminal di mana udara akan tiba ke unit-unit alveoli tempat pertukaran oksigen dan karbon dioksida.

Saluran pernafasan dilapisi oleh sel epithilia yang merembeskan mucus (lendir) serta jejari halus (silia) yang beralun untuk memerangkap habuk/bendasing yang melalui saluran pernafasan.

Selain itu terdapat juga reseptor yang berhubung dengan saraf yang menghasilkan reflex batuk apabila terdapat stimulasi yang mengganggu saluran pernafasan.

Kombinasi beberapa struktur di atas membentuk mekanisma penghalang daripada gangguan kepada fungsi pernafasan yang normal. Sebagai contoh, mukus memerangkap habuk dan silia membantu menggerakkan mukus serta reflex batuk bertujuan menolak mukus dan habuk keluar dari saluran pernafasan.

Bayi boleh menghasilkan pelbagai bunyi yang berbeza bergantung kepada punca dan bahagian yang mengalami gangguan kepada arus udara.

Berikut  adalah proses bagaimana kahak terhasil:

1. Bunyi kahak mungkin terhasil disebabkan kehadiran mukus di bahagian saluran pernafasan atas seperti di dalam hidung, di belakang hidung ,tekak, atau larynx iaitu bahagian sebelum memasuki trakea.

2. Bunyi kahak mungkin juga terhasil di saluran pernafasan bawah iaitu dari trakea ke terminal bronkiol sehingga alveoli.

3. Mukus yang berlebihan mungkin terhasil disebabkan berbagai faktor luaran seperti jangkitan kuman, habuk, bahan kimia, suhu/cuaca persekitaran. Faktor dalaman seperti regurgitasi susu/jus asid dari perut juga boleh mempengaruhi penghasilan mukus.

4. Mukus yang pekat atau kering terutamanya di bahagian hidung bayi mungkin menghalang pernafasan kerana bayi tidak boleh bernafas melalui mulut. Doktor mungkin akan menasihatkan penggunaan saline dropatau spray dan sekiranya perlu boleh disedut menggunakan penyedut hidung (nasal aspirator).

5. Bunyi berkahak dan disertai dengan batuk yang kerap serta nafas yang tercungap-cungap menandakan bayi anda mungkin mengalami kesukaran untuk bernafas. Bayi perlu dibawa berjumpa doktor untuk mengenalpasti masalah serta rawatan.

Perlu diingatkan bahawa bunyi pernafasan bukan sahaja disebabkan kahak; oleh sebab struktur pernafasan adalah kompleks, bunyi boleh disebabkan oleh halangan arus udara yang boleh terjadi di sepanjang laluan saluran pernafasan.

Oleh itu sekiranya anda tidak pasti, terutamanya bayi menghadapi masalah pernafasan, penyususan, gangguan tidur atau kurang berat badan, anda dinasihatkan mendapatkan nasihat doktor.

Semoga bermanfaat!

Artikel ini telah disunting daripada artikel asal yang bertajuk : Kalau Bayi Batuk Berkahak, Periksa 5 Faktor Ini!

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 8,456 times, 1 visits today)