Doktor, Bayi Saya Bergerak! Ketahui Pergerakan Bayi Dalam Kandungan Anda

love-1237394_1920

Teruja, berdebar, takut dan gembira. Eh, tak dapat digambarkan perasaan ibu yang sedang hamil ini. Bayangkan sahaja, buat kesekian kalinya, kita berkongsi tubuh dengan orang lain, nyawa yang masih suci daripada dosa. Maka kita seringkali teruja terutama sekali apabila ditendang perlahan oleh mereka, indahnya, serasa dunia ini kita yang punya.

Untuk melengkapkan lagi kisah keterujaan ini, kami kongsikan secara lengkap pergerakan bayi dari mingu ke minggu untuk bacaan kalian. Semoga bermanfaat!

Bagaimanakah pergerakan bayi saya dari minggu ke minggu?

Anda tidak akan dapat merasai kesemua pergerakan bayi anda. Sesetengah pergerakan berlaku sekejap sahaja dan tidak sempat untuk anda merasainya. Anda lebih berkemungkinan merasai pergerakan-pergerakan yang berlangsung lebih daripada beberapa saat. Berikut ialah panduan mengenai pergerakan apa yang dijangka anda boleh merasanya dan bila:

Dari minggu ke-20 hingga ke-24

Aktiviti bayi anda akan bertambah secara beransur-ansur dari minggu ke minggu. Ketika ini, anda akan menyedari bahawa bayi anda lebih aktif pada siang hari di mana dia banyak membuat pergerakan menendang dan balik kuang (somersault).

Dari minggu ke-24 hingga ke-28
Anda mungkin mula menyedari apabila bayi anda mengalami sedu. Apabila ini berlaku, anda akan rasa seperti tersentak-sentak. Karung amnion (ketuban) anda pada ketika ini mengandungi sebanyak 750ml cecair yang membolehkan bayi bergerak secara bebas. Anda juga mungkin menyedari bahawa dia akan terkejut apabila mendengar bunyi kuat secara tiba-tiba.

Pada minggu ke-29
Bayi anda akan mula membuat pergerakan kecil yang lebih mantap, disebabkan dia sekarang dalam keadaan agak terhimpit dalam rahim anda.

Pada minggu ke-32
Anda mungkin menyedari pergerakan bayi anda memuncak ketika ini. Selepas ini, jumlah pergerakan yang anda rasa akan berkurangan. Ini adalah normal kerana dia tidak mempunyai banyak ruang untuk bergerak.

Mulai kira-kira minggu ke-36
Pada masa ini, bayi anda akan menetapkan posisinya dengan meletakkan kepala ke bawah. Ini berlaku terutama sekali bagi kehamilan pertama kerana otot-otot abdomen dan rahim anda masih kuat dan dapat mengekalkan kedudukan tersebut. Pergerakan utama yang anda akan rasa pada peringkat ini ialah pukulan tangan dan kaki bayi, dan dia juga akan membuat tendangan kuat yang agak memeritkan pada tulang rusuk anda.

Sekiranya ini bukan kehamilan anda yang pertama, otot abdomen anda tidak begitu kuat lagi dan oleh itu bayi anda akan sering mengubah posisinya sehingga tiba tarikh anda dijangka bersalin.

Dari minggu ke-36 hingga ke-40
Badan bayi kini  lebih besar dan pergerakan memusing akan berkurangan. Sekiranya bayi menghisap jari dan jika jarinya terlucut, anda akan merasa pergerakan yang pantas dan perit. Ini kerana dia sedang memusingkan kepalanya ke kanan dan ke kiri untuk mencari jarinya semula!

Dalam tempoh dua minggu sebelum kelahiran bayi, pergerakannya semakin kurang. Sebaliknya, anda mungkin akan rasa tendangan kuat dari dalam rangka rusuk anda pada sebelah bahagian. Pergerakan yang semakin berkurangan ini adalah perkara biasa, tetapi jika anda bimbang mengenainya, jumpalah doktor anda.

Mulai sekarang, bayi anda sudah tetap pada posisinya dalam pelvis anda dan sedang menunggu masa untuk membuat perjalanan keluar. Anda mungkin rasa kepalanya seolah-olah sebiji tembikai yang menekan lantai pelvis anda. Jika bayi anda tidak berada dalam posisi kepala di bawah, baca lebih lanjut tentang bagaimana meletakkan bayi ke posisi terbaik untuk kelahiran.

Ada masanya bayi akan tidur dan ada masanya dia sangat aktif. Dia mungkin aktif menjelang waktu malam ketika anda baru berbaring untuk tidur. Corak aktiviti ini mungkin akan berterusan sehingga usia bayi tiga minggu, iaitu sehingga dia dapat membezakan di antara malam dan siang.

Berapakah tendangan yang patut saya rasakan dalam satu hari?

Tidak ada jumlah tendangan yang tetap yang perlu anda rasa. Anda mungkin tidak dinasihatkan supaya menyimpan rekod jumlah atau carta tendangan seperti yang pernah diamalkan sebelum ini. Carta seperti ini tidak dapat memberitahu dengan tepat samada bayi anda mempunyai masalah ataupun tidak. Mudah untuk anda terlupa untuk mengisinya. Akibatnya, ia memberi keputusan yang tidak tepat dan membuatkan anda bimbang tanpa sebab.

Sebaliknya anda digalakkan memahami corak pergerakan bayi semasa anda jaga. Semakin lanjut kehamilan anda, semakin mudah untuk anda mengenal pasti corak pergerakan bayi. Setiap bayi mempunyai corak tidur dan jaga yang berlainan, lambat laun anda dapat mengenal pasti apa yang normal bagi bayi anda. Jika anda mengesan sebarang ketaknormalan pada coraknya, hubungilah doktor anda dengan segera.

Saya tidak merasa gerakan bayi saya hari ini; patutkah saya bimbang?

Jika anda sibuk melakukan sesuatu, anda mungkin tidak menyedari pergerakan bayi anda. Jika anda mahukan kepastian, ada beberapa cara untuk merangsang bayi supaya bergerak:

  • Angkat kaki ke atas dan relaks. Bayi kadang-kala tertidur semasa anda bergerak kerana rasa seperti dibuai, dan dia akan terjaga apabila anda duduk diam.
  • Baring mengiring (dengan mengampu perut) dan jangan bergerak. Ini dapat membantu anda menumpukan perhatian terhadap pergerakan bayi.
  • Minum air yang sangat sejuk. Bayi anda mungkin dapat merasa perubahan suhu dalam badan anda dan cuba untuk mengelak daripadanya.
  • Buat bunyi bising. Mainkan muzik dengan kuat atau hempas pintu dan lihatlah tindak balas daripadanya.

Jika bayi anda mula bergerak selepas anda melakukan perkara di atas, anda dapat tahu yang dia tidak apa-apa. Tetapi teruskan memantau pergerakannya. Jangan berlengah-lengah untuk berjumpa doktor sekiranya anda rasa pergerakannya berbeza daripada yang biasa.

Haa, mesti anda teruja kan terutama sekali jika ini adalah merupakan anak anda yang pertama. Apa-apa pun kami doakan anda sihat dan mendapat bayi yang comel. Nanti dah lahir, beritahulah kami ya!

Artikel ini telah disunting daripada artikel asal yang diterbitkan dengan tajuk : Pergerakan bayi dalam kandungan.

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 767 times, 1 visits today)