Dengan Ini, Anda Tidak Perlu Risau Lagi Anak Lambat Bercakap!

Anak-anak sebenarnya belajar bahasa secara bertahap. Mereka belajar perkataan, kemudian mereka gabungkan perkataan-perkataan tersebut dan akhirnya mereka akan pandai buat ayat.

Contoh yang kami nampak pada anak kami, dia sebut berulang kali perkataan “Bi” (singkatan untuk Abi) dan “makan”. Kemudiannya baru boleh sebut “Abi” dengan baik. Kemudian barulah dia gabungkan “Abi, makan” maksudnya minta Abi memberinya makanan. Sekarang ni barulah ayatnya penuh “Abi, nak makan”. “Makan apa Ja?” “Makan ro-ti”.

Perkembangan Bahasa Bergantung Pada Anak

Cepat atau lambat seseorang anak dalam bercakap, semuanya bergantung pada anak itu sendiri. Ada anak yang cepat berjalan, tetapi lambat bercakap. Ada yang cepat bercakap, tetapi lambat berjalan. Namun sebagai ibu bapa, kita tidak boleh cepat melabel anak saya bermasalah atau kurang cerdik. Cepat atau lambat anak bercakap tidak melambangkan kecerdikan seseorang anak.

Ada yang lambat bercakap, tetapi kemudiannya bercakap dengan petah dan berjaya dalam kehidupannya berbanding yang cepat bercakap. Ada anak hanya pandai sebut satu dua perkataan sahaja dan mengambil masa yang lama untuk menyambungkan dua perkataan, tetapi kemudiannya sangat cepat membina ayat. Malah ada anak yang sangat cepat bercakap, tetapi sukar memahami setiap pertuturannya.

Yang penting, biarkan anak mendapat rentaknya dalam bercakap dan jangan sesekali kecewa. Setiap anak adalah berbeza dan anak kita tidak akan pernah sama dengan anak orang lain dari segi perkembangannya.

Anak Perempuan Lebih Cepat Bercakap daripada Anak Lelaki?

Seperti yang kami nyatakan tadi, cepat atau lambat seseorang anak bercakap tidak menggambarkan kebijaksanaan seseorang anak.

Anak lelaki selalunya lebih laju perkembangan fizikalnya. Dia lebih cepat berjalan, berlari, tendang bola mahupun memanjat. Tetapi tidak bererti mereka kurang bijak kerana lambat bercakap.

Anak perempuan pula kebiasaannya lebih laju perkembangan bahasanya. Mereka lebih sukakan buku, melihat gambar dan mencuba menyebut perkataan-perkataan yang mereka dengar di sekeliling mereka.

Apapun tekanan pada anak bakal melambatkan lagi perkembangan bahasa mereka. Anak-anak mungkin akan merasa takut mencuba untuk bercakap apabila sering ditekan dan ditegur kesalahan bahasa mereka.

Bagaimana nak tahu anak saya ada masalah bercakap?

Bermula dengan senyuman sewaktu 1-2 bulan pertama kelahiran, itu menandakan perjalanan bahasa anak sudah bermula.

Anda boleh cuba uji anak yang dirasakan lambat bercakap tersebut dengan bahasa badan. Contohnya nak minum susu, nak pegang bola atau nak tukar lampin. Jika anak boleh memberitahu kita apa yang dia mahukan dengan bahasa badan, ini adalah tanda anak kita normal dan dia berjaya membina bahasa dalam pemikirannya.

Pakar kanak-kanak mencadangkan supaya ibu bapa perhatikan anak-anak ini dan berikan arahan mudah untuk mereka ikut. Berikan anak arahan mudah seperti ‘makan’, ‘tidur’ atau ‘bola’, dan lihat reaksi mereka. Sekiranya reaksi mereka bersesuaian, maka anda tidak perlu risau. Anak dikira sudah berjaya membina “kamus bahasa” mereka, cuma mungkin mereka lambat dalam berckap.

Yang perlu anda risaukan adalah anak-anak yang sudah mencecah umur hampir 2 tahun namun masih gagal memahami arahan-arahan mudah. Bawalah anak berjumpa pakar kanak-kanak untuk pemeriksaan secepat mungkin supaya peluang bercakap lebih cerah selepas rawatan terapi yang diberikan.

Kita pun akan lebih tenang apabila dapat memahami sebab anak lambat bercakap dengan bantuan pakar.

Artikel dipetik daripada laman web Fitrah Ibu
Kredit gambar: theAsianParent

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 5,175 times, 1 visits today)