Ibu Bacalah Doa Ini, Nescaya Anda Akan Menangis. Semoga Allah Makbulkan Doa Kita.

buildings-203194_1920

Kawan-kawan, dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan dilimpahi dengan rahmat Allah yang Maha Esa ini, umat islam digalakkan untuk memperbanyakkan kegiatan ibadah. Dan salah satu daripada senjata umat islam adalah, doa!

Kami telah bertemu dengan doa ini, yang telah ditulis dan dimuatnaik oleh Ustaz Ebit Lew ke laman Facebooknya. Sungguh, anda akan menangis membaca doa ini.

 

Terkesan dengar doa seorang anak muda petang Ramadhan ini menangis teresak-esak dan agak kuat menangis. Saya singgah sebuah masjid petang tadi. Saya lihat seorang anak muda sedang menangis teresak-esak. Dia baca sehelai kertas dan menangis teresak-esak dan makin kuat menangis. Saya dari jauh doa ya Allah dalam berjuta rahmat yang kau sedang beri padanya, berilah sedikit kepada saya. Inilah Ramadhan yang mulia.

Selepas itu saya dekat dengannya dan kata doakan saya. Dia terus menangis dan kata ada orang hadiahkan saya keratan doa ini. Saya selalu menangis berdoa membacanya. Orang bagi saya masa umrah.

Saya menangis kerana saya pernah berdoa di ikimfm. Syukur ada orang sudi menaipnya, hanya Allah membalasnya dengan kebaikan. Saya selalu terjumpa doa itu, tak tahu siapa yang rajin taip dan edarkan.

Mudah-mudahan amin tuan puan Allah kabulkan di malam atau siang dalam Ramadhan yang mulia ini.

Wahai Allah tuhan kami,

Ampunkanlah dosa-dosa kami semua, ampunkanlah dosa mak ayah kami. Ampunkan dosa mak ayah kami andaikata ada dalam hidup mereka, mereka pernah tinggalkan solat, kau ampunkanlah dosa mereka.

Wahai Allah tuhan kami,

Kami pernah dengar ada mak ayah yang ditakdirkan masuk neraka tetapi disebabkan doa anak mereka yang soleh engkau selamatkan mereka dan kau masukkan mereka dalam syurga. Wahai Allah, kami bukan anak soleh tapi kami nak jadi mak ayah kami masuk syurga.

Ya Allah tuhan kami,

Ampunkanlah dosa kami semua. Ampunkan dosa kami semua orang Islam dalam dunia ini.

Wahai Allah tuhan kami,

Hidup kami berlalu hari demi hari. Setiap nikmat kau dan kebaikan yang diberi kepada kami tak henti-henti tetapi wahai Allah betapa zalimnya kami, kami telah jauh dari perintah-perintahMu.

Ya Allah,

Ampunkanlah dosa-dosa kami semua. Berilah kami hati yang sentiasa bersyukur dengan nikmat yang kau beri kepada kami.

Wahai Allah tuhan kami,

Tiada tuhan melainkan kau yang tidak berhenti-henti berbuat baik pada kami. Maafkanlah kami semua, maafkanlah kami semua, kami bertaubat atas segala dosa kami, kami benar-benar bertaubat.

Wahai Allah tuhan kami,

Kami tahu tiada yang menyayangi kami lebih dari kau sayang kami. Kami tahu tiada siapa kasih kami lebih daripada engkau ya Allah. Tapi kami begitu berdosa zalim, dalam hati kami, kami tak tahu sama ada kami mampu paksa hati kami untuk datang dan ingat padaMu. Bantulah kami, hati kami keras dan sombong. Belum benar mencintaiMu dengan sebenarnya.

Sedangkan telah habis separuh hidup kami, terlalu banyak nikmat kau beri pada kami. Kami malu, entah berapa masa lagi kami perlukan untuk benar cinta padaMu. Belum benar dekat padaMu. Berilah kami cinta sayang rindu dekat padaMu seperti Rasulullah saw dan para sahabah rhum. Hadiahkan kepada kami sebelum kami mati. Hadiahkan kami ya Allah.

Ya Allah,

Berilah ikhlas dalam amalan kami. Berilah ikhlas dalam amalan kami. Berilah ikhlas dalam amalan kami.

Ya Allah,

Maafkanlah kami seandainya ada amalan kami tak ikhlas. Janganlah kau tolak amalan kami.

Wahai Allah,

Sedikit sangat amalan kami. Dalam hati kami masih ada riak kibir takabur. Bersihkan diri kami ya Allah. Bersihkanlah kami ya Allah. Bersihkanlah kami ya Allah. Bersihkan dan sucikanlah hati kami.

Wahai Allah yang Maha Mendengar dan Maha Pengasih,

Jangan biarkan kami lagi, tolonglah kami semua, kami tak tahu nak buat apa. Tolonglah ya Allah.

Ya Allah,

Kami tak nak hidup dengan lalai, hati yang mati, hilang kelazatan dan roh amalan agama. Kami nak sebut namaMu dengan manis, dengan nikmat, kami tak nak hidup dengan maksiat. Ya Allah selamatkanlah kami, kami sedih lihat manusia mati tanpa agama.

Ya Allah,

Macam mana kami nak jumpaMu dalam keadaan begini. Kami rindu nak jumpa dan berterima kasih padaMu. Bagaimana kami nak jumpa Nabi kami, Bagaimana kami nak jumpa Nabi kami? Nabi saw yang kami kasihi bergadai nyawa untuk redhaMu, untuk agama ini, isteri dan anak Nabi saw susah demi agama ini. Lapar, sakit, susah , derita dan mati demi agama Islam sampai pada kami.

Kami tak buat apa-apa untuk agama ini, kami tidur lena, makan sedap, manusia mati tanpa Islam. Orang Islam jauh dari amalan Islam. Kami tidur lena makan sedap sedangkan saudara kami di Palestin, Syria di seluruh dunia dalam kesusahan dan kelaparan.

Ya Allah,

Selamatkanlah semua saudara kami diseluruh dunia.

Ya Allah,

Campakkanlah kasih sayang di kalangan kami semua, janganlah kami bergaduh sesama sendiri, berilah rasa cinta dan sayang di kalangan manusia di seluruh dunia. Berilah rasa cinta dan sayang sesama suami isteri, rasa cinta dan sayang sesama anak dan ibubapa, rasa cinta dan sayang kepada adik beradik dan semua ahli keluarga.

Ya Allah,

Fitnah atas agama ini datang satu demi satu, dakyah pendakyah datang bertalu-talu, tapi kami orang Islam tinggalkan dam tak bersungguh atas kerja dakwah ini. Maafkanlah kami..

Ya Allah,

Ramai anak muda kami sedang habiskan hidup mereka dengan dosa dan maksiat. Ya Allah tunjukkanlah apa patut kami buat. Berilah ilham dan kekuatan, apa yang patut kami semua buat. Tunjukkanlah, selamatkan semua anak muda kami.

Ya Allah,

Anak-anak dan keturunan zuriat kami kau selamatkanlah. Kami mati hari ini, tak tahu apa nasib mereka. Jadikanlah anak kami daie yang bawa Islam ini ke seluruh dunia. Selamatkanlah isteri dan anak-anak yang kami amat sayangi dan cintai, selamatkanlah ya Allah. Jagalah agama mereka, pilih mereka hidupkan islam ke seluruh dunia.

Ya Allah,

Satukanlah hati orang Islam. Letakkan rasa cinta dan sayang sesama kami dalam membangunkan Islam.

Ya Allah,

Kami tidur lena, kami tidur lena sedangkan manusia mati tanpa kenalMu ya Allah.

Wahai Allah,

Ampunkanlah dosa kami semua. Dosa kami paling besar ialah kami belum benar-benar mencintaiMu dengan sebenarnya-benarnya. Belum cinta Nabi saw yang telah korbankan segalanya, kami benar-benar nak cinta padaMu, nak cinta Nabi saw, hadiahkanlah kami ya Allah.

Ya Allah,

Ampunkan kami semua, kami masih belum kasih saudara seperti kami kasih diri kami sendiri, tak sempurna iman kami jika tak kasih saudara kami seperti kami kasih diri sendiri. Ya Allah, ampunkan kami, pimpin kami untuk sayang manusia yang lain keranaMu, hadiahkan cinta dan sayang penduduk Madinah pada zaman Rasulullah SAW, sanggup mati demi beri air pada orang lain.

Ya Allah,

Kasihilah semua saudara kami. Kami kasih mereka keranaMu, hanya keranaMu.

Ya Allah,

Kami cuma nak redhaMu. Itulah segalanya dalam hidup kami. Redhalah ke atas ibubapa yang kami cintai. Redhalah ke atas isteri kami sayangi, suami kami. Redhalah ke atas semua orang Islam. Pimpinlah dan jagalah mereka untuk kami, peliharalah mereka, kami benar sayang pada mereka kerana Islam yang kau beri pada kami.

Ya Allah,

Mana-mana hambaMu yang jauh dariMu, dekatkanlah ya Allah. Mana orang masih belum solat dan ada yang tak pernah solat berilah mereka jadi orang jaga solat, selamatkan kami semua. Yang belum tutup aurat berilah dapat tutup aurat, yang belum sedar dan masih buat dosa berilah taufik untuk bertaubat.

Ya Allah,

Seperti kau selamatkan kami dulu, kau beri belajar mengenalMu, itulah perkara terindah dalam hidup kami. Selamatkanlah semua saudara-mara kami. Selamatkanlah semua manusia dalam dunia ini.

Ya Allah,

Hidup kami semakin berlalu, tapi kami belum bertambah dekat denganMu. Selamatkanlah kami. Selamatkanlah kami. Berilah keajaibanMu dalam hidup kami. Berilah rasa cinta dan rasa syukur dalam setiap ahli keluarga kami. Supaya kami benar mencintai dan memimpin setiap ahli keluarga kami ke syurgaMu.

Ya Allah,

Janganlah orang Islam ini bergaduh sesama sendiri. Kami semua tak untung, yang untung syaitan. Dan orang bukan Islam semakin tak faham Islam. Maafkanlah kami semua.

Ya Allah,

Kami pohon jika ada di antara saudara kami yang sakit kau sembuhkanlah, ya Allah jika antara kami ada yang diuji dengan musibah dan kesedihan, kau bukalah jalan keluar dan berilah bahagia dalam hati mereka.

Ya Allah,

Antara kami ada yang lapar dan susah. Penuhilah keperluan mereka dan cukupkan rezeki buat mereka. Di antara kami ada yang baru diuji dengan berita kesedihan, ya Allah ubatilah kesedihan mereka. Ya Allah antara kami ada yang ada masalah rumahtangga, kau berilah mereka cinta dan bahagia sampai syurga. Di antara kami ada yang hidup sebatang kara, berilah keluarga dan rasa kekeluargaan itu dengan orang Islam yang membantu.

Ya Allah,

Ada muallaf yang kehilangan keluarga, kau lembutkan hati keluarga mereka untuk menerima mereka. Jadikan kami semua keluarga mereka. Ada antara kami sedang berjuang di jalanMu, pelihara isteri dan anak mereka serta harta mereka.

Ya Allah,

Antara kami ada ulama dan pemimpin yang ikhlas berkati perjuangan mereka, cukupkan rezeki panjangkan umur dan pelihara anak isteri mereka. Berkati mereka atas ilmu dan pimpinan mereka dan doa mereka.

Ya Allah,

Ada antara kami ingin pekerjaan, jodoh, dan anak, kau kurniakanlah ya Allah.

Ya Allah,

Ada 7 bilion manusia belum kenalMu. Berilah mereka dapat kenalMu. Beri hidayat orang amerika dapat Islam, beri islam pada orang Korea, Russia, brazil, Perancis, China, Jepun, Afrika, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, pulau-pulau di Indonesia, semua penduduk Malaysia dan seluruh dunia sampai kiamat. Berilah setiap orang dapat kenalMu. Ya Allah sayangilah dan kasihilah mereka..

Terimalah kami semua dapat bertemu denganMu ya Allah. Hanya Redha dan keampunanMu yang kami harapkan. Berilah kami dapat bertemu dengan Rasulullah SAW, Khadijah ra, Zainab, Ruqaiyah, Ummu Kalthum, Fatimah rhum.., Abu Bakr ra, Umar ra, Usman ra, Ali ra, Hassan dan Hussain rhum. Terimalah kami semua.

Nota Editor : Jika tidak pun menitis air mata anda, pasti ianya telah berkumpul di kelopak mata. Luahkanlah kawan, lelaki atau perempuan, ibu atau ayah, suami atau isteri, tidak mengapa jika menangis di hadapan Tuhan kita.

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 3,111 times, 1 visits today)