Author Archives: M Zanna

Kenapa Zat Besi SANGAT PENTING Untuk Kandungan

Antara topik hangat dikalangan ibu mengandung ialah kurang haemoglobin (Hb) atau satu keadaan yang dipanggil anemia. Disebabkan kebanyakan ibu mengandung mengalami masalah anemia, ramai yang menyangka anemia ialah masalah ibu mengandung. Sebenarnya masalah anemia adalah masalah global yang melanda 1 dunia dan bukan hanya melibatkan ibu mengandung sahaja.

Mengandung adalah salah 1 perjalanan yang paling bahaya dalam kehidupan seorang manusia yang bergelar wanita. Ketika seorang wanita mengandung, pelbagai perubahan fisiologi yang dialami oleh tubuh ibu yang turut mendedahkan ibu kepada masalah kesihatan yang lain dan dalam keadaan membawa seorang lagi manusia di dalam rahimnya.

Untuk seorang wanita, anemia bermula sejak zaman kanak-kanak, menjadi lebih teruk pada usia remaja dan semakin buruk apabila seseorang wanita itu mengandung. Dan kebanyakan masalah ini berpunca daripada pemakanan yang kurang zat besi dan tidak mengambil makanan tambahan.

Disamping itu, wanita juga banyak kehilangan zat besi semasa haid setiap bulan dan kehilangan ini juga sepatutnya digantikan dengan zat besi tambahan.

Kepentingan zat besi untuk perkembangan otak bayi

brain-scan-378386

Kebanyakan wanita akan mengalami loya dan muntah-muntah di awal kandungannya, yang boleh diburukkan dengan suplemen zat besi. Jadi, ramai doktor memilih untuk menunda pemberian pil zat besi untuk wanita ini. Namun, oleh kerana simpanan zat besi dalam badannya tidak mencukupi sejak awal mengandung, kandungan zat besi akan terus menurun kerana pencairan darah semasa hamil.

Sebelum ibu mengetahui dia mengandung, sistem saraf otak bayi sudah pun terbentuk. Pada hari ke-16 selepas persenyawaan, plat neural yang merupakan asas kepada pembentukan otak dan saraf tunjang bayi sudah terbentuk. Ia akan memanjang dan membentuk 1 tiub yang akan tertutup pada minggu ke-6 atau ke-7 kehamilan dan membentuk 3 bahagian otak. Jadi, sebelum ibu menyedari haidnya sudah lewat, otak bayi sudahpun tersedia.

Menurut kajian yang dilakukan di Universiti of Rochester Medical Center, ibu yang mengalami kekurangan zat besi pada awal kandungan berisiko untuk menyebabkan masalah dalam perkembangan otak bayi, walaupun tidak mengalami anemia.

Memang terdapat kajian yang membuktikan bahawa bayi yang mengalami masalah kekurangan zat besi menunjukkan perkembangan otak yang lebih perlahan dan masalah yang lain termasuk lambat dari segi percakapan dan mempunyai masalah tingkah laku. Zat besi diperlukan untuk membina haemoglobin yang membawa oksigen ke seluruh sel badan. Sekiranya hemoblogin rendah, oksigen yang cukup tidak dapat dihantar untuk perkembangan otak bayi.

Namun, para pengkaji belum dapat memastikan tahap kekurangan zat besi yang boleh menyebabkan masalah ini. Namun, yang pasti masalah kekurangan zat besi ini sangat kritikal sebelum persenyawaan sehingga trimester pertama dan permulaan trimester kedua. Pada trimester ketiga mungkin tidak mengganggu perkembangan otak bayi tetapi membawa kepada masalah lain pula.

Simpanan zat besi

Zat besi disimpan dalam badan manusia dalam bentuk ferritin. Paras normal ferritin mungkin berbeza di tempat yang berbeza. Namun, sebelum mengandung wanita disarankan untuk memiliki sekurang-kurangnya 50mg ferritin.

Analoginya sama dengan jika seseorang ingin membina rumah atau berkahwin, sudah tentu dia perlu mempunyai simpanan wang dahulu sebelum dapat membina rumah dan apabila duit simpanan itu digunakan, ia tidak memberi kesan kepada kewangannya.

Tips mengatasi masalah ini

organic-vegetable-of-the-month-club-5-lbs-per-month-1

Kebanyakan wanita yang mengalami masalah anemia semasa mengandung bermula sejak bertahun-tahun lamanya. Kini, dengan penjagaan kesihatan yang semakin baik, anemia telah cuba dirawat sejak kanak-kanak lagi dengan pengesanan kes pada peringkat awal.

Setiap orang perlu mengamalkan pengambilan diet seimbang terutamanya sayur-sayuran yang mengandungi zat besi yang tinggi walaupun tidak mengandung.

Mula amalkan multivitamin yang mengandungi zat besi ataupun vitamin C untuk penyerapan zat besi yang efektif dalam makanan.

Semoga tips-tips ini dapat membantu ibu mengatasi masalah anemia semasa mengandung dan semoga ibu selamat melahirkan anak yang sihat dan bijak.