Author Archives: Aqilah Baihaqi

Self Soothing Baby: Ilmu yang WAJIB Dipelajari Oleh Ibu

ohsemmmama
Si ibu meletakkan bayi kecilnya dihadapan tempat sujud disepanjang solat. Bayi kecil ini asyik memerhati gelagat kami terkumat-kamit, rukuk dan sujud disepanjang 8 rakaat. Sekejap-sekejap dia tersenyum, sekejap-sekejap dia mengerut, memaling ke kiri dan kanan serta sekeliling sebelum akhirnya mula merenung dinding dan terlelap…..kira-kira 30 minit cukup hingga kami selesai 8 rakaat.

Ini salah satu contoh self soothing (mententeramkan diri sendiri) bayi: dimana bayi diberikan peluang untuk belajar terlena sendiri tanpa sebarang campur tangan/bantuan ibu atau alat ( atau bantuan yang di beri cukup minimum). Anak Arab ini baru berusia 3 bulan. Dia belum pun boleh meniarap apa lagi menghisap jarinya. Namun, ibu kepada bayi ini cukup bijak mengambil kesempatan atas kemahiran terkini anaknya yang mula pandai mengamati suasana sekeliling untuk membiarkan anaknya menikmati peluang mengamati sekeliling itu sebagai cara me’rileks’kan diri sebelum tertidur.

Ada sebahagian ibu yang merasa, membuat bayi lena itu adalah tugas yang perlu disempurnakan ibu. Maka, bila bayi gagal lena dengan cepat walau ibu telah berusaha dengan pelbagai cara atau bayi mula mencelikkan matanya sebaik diletakkan ke bawah oleh ibu..ibu mula stress, rasa kecewa dan gagal.

Ini suatu salah faham. Yang benarnya: TUGAS IBU ADALAH MEMANDU BAYI KE FASA TIDUR. MENYEMPURNAKAN LENA ITU ADALAH TUGAS BAYI.

Jika ibu telah memastikan bayi kenyang dan selesa, lalu ibu puas menepuk bayi atau mendodoinya tetapi tiada tanda bayi akan terlelap dalam masa ini, usah stress menyoal diri mengapa bayi belum lelap lagi?. Letak bayi, baring atau duduk berhampirannya dan perhatikan saja bayi. Anda mungkin bakal melihat bayi yang memandang ke kiri dan kanan,bermain jarinya, main sembur air liur atau mula membebel lagu tidurnya. Lihat jika akhirnya dia mampu mamai dan terlena selepas itu. Perbuatan anda memberi ruang untuk bayi menyendiri ini bakal membuka peluang kepada bayi mencari cara paling sesuai untuknya me’rileks’kan diri sebelum tidur. Atau,jika ibu ingin beredar buat seketika juga tiada masalah. Datang semula bila bayi mula menangis atau memanggil.

ohsemmama

Jangan lupa, ada juga bayi yang menangis sebelum tidur untuk me’rileks’kan diri. Anda mungkin pernah mengalami situasi di mana anda puas mengangkat dan meletak bayi yang meragam untuk tidur. Sekejap-sekejap anda suakan payudara kerana mati akal untuk menghentikan resahnya. Bayi pula main tarik-tarik di payudara ibu. Minum sebentar-mencabut puting- menangis- minum semula-cabut puting semula-menangis balik…kitaran ini tak sudah-sudah. Anda tertanya mengapa bayi bergelut bila patutnya payudara ibu adalah tempat paling nyaman buat bayi bertenang?. Lalu anda stress… Apa yang perlu ibu buat ialah ‘give a break’ untuk bayi. Hentikan campur tangan anda. Jika anda telah menyusukan bayi, membantu mencipta suasana selesa seperti memalapkan lampu,membedung atau memasang bunyian, tetapi bayi masih resah dan menangis, letak sahaja bayi. Kekal disisinya sebagai tanda anda menyokong emosi nya yang cuba dilepaskan melalui tangisan. Tarik nafas, bertenang, bercakap-cakap dengan nada empati dan usap bayi. Jika anda rasa perlu mendukungnya, dukung dan dakaplah lalu biar bayi menangis di pelukan anda.

Ia mungkin sangat sukar diperingkat awal kerana semua ibu mempunyai naluri untuk segera menghentikan tangisan anaknya. Namun anda perlu tahu bayi bukan dalam kesakitan. Dia sedang cuba me’rileks’kan dirinya dan belajar melalui pengalaman ini. Percayalah dengan sokongan anda, episod menangis sebelum tidur ini akan berkurangan dan keadaan akan jadi lebih mudah.

Sumber perkongsian: Pn. Uswatun Hasanah Habib