Author Archives: Ainizal Abdul Latif

Tip Dorong Anak Berjaya Tanpa Tekanan: Raikan Usahanya, Bukan Markahnya.

Minggu lalu, balik dari sekolah, nampak anak dara saya seorang ni dah teruja nak bagitau sesuatu. Dengan baju sekolah yang belum bertukar, terus meluru kearah saya,

“Mama, cuba tengok ni. Markah penulisan kakak. 94/100. Mudarisah kata, tak pernah orang dapat markah tinggi macam ni dalam penulisan selama dia ajar.”

Saya relax saja, tapi berkerut juga dahi bila dia sambung, beritahu,

” Tapi kakak sedihlah, masa mudarisah cakap macam tu, kawan-kawan semua cakap, mmm boleh lah dia dapat markah macam tu..mak dia kan penulis…”

Nilai Usaha.

Saya jelaskan,

“Kalau nak tahu, itulah manusia kakak. Bila dapat sesuatu yang buruk pun dikata, bila dapat sesuatu yang baik juga akan dikata. Jadi, jangan fokus pada pandangan manusia.

Lagipun nilai usaha lebih penting dari nilai markah yang kakak dapat. Allah pandang usaha, bukan keputusan akhir yang kakak dapat.”

Ya, saya tidak fokus kepada markah dia. Saya raikan usaha dia. Jika markah rendah sekalipun, tetapi saya lihat dia sudah berusaha, saya akan raikan juga.

Terus terang, saya bukan ‘exam and result oriented’ dalam hal pembelajaran kepada anak-anak walaupun saya seorang guru. Saya tiada masalah dengan markah rendah, asalkan mereka sudah berusaha.

Jika mereka sudah berusaha, namun kejayaan tidak menyebelahi, yakinkan mereka bahawa Allah mahu didik sesuatu dari kegagalan itu.

Anak dara saya seorang ni, pernah beberapa kali dapat markah rendah dalam subjek matematik walaupun saya mengajar subjek matematik dan papanya mengajar subjek matematik tambahan.

2016-04-18 14.07.46

Gagal Itu Bukan Dosa.

Gagal dan mendapat markah rendah itu pada saya tidak salah dan berdosa. Tetapi bagaimana kita sebagai ibu bapa mentarbiyyah mereka memandang kegagalan itulah yang paling penting.

Kadangkala gagal itu perlu kerana dengan mengenal gagal, barulah mereka menghargai sebuah kejayaan. Hidup yang tidak pernah merasa gagal seperti bumi yang tidak pernah ditimpa hujan. Gagal itu menyubur jiwa menjadi kuat, umpama hujan menyubur bumi menjadi berkat.

Kami hanya ajar dan berikan kefahaman, mahu berjaya dia perlu berusaha sendiri. Pada kami, anak-anak harus bertanggungjawab atas apa yang mereka usahakan. Itulah pelajaran sebenar tentang kehidupan di dunia mahupun di akhirat sana.

Raikan Usahanya, Bukan Markahnya.

Melihat keputusan nya tadi, saya raikan usahanya iaitu:

1) Sabar kerana akur dengan tegahan saya yang melarangnya membuka akaun facebook. Berkali dia merayu, dengan alasan mahu berinteraksi dengan kawan-kawan. Saya beritahu, belum masanya.

Dia hanya baca facebook dengan pantauan saya dan akaun facebook saya. Facebook adalah seperti pisau, boleh jadi baik dan buruk. Pada masa ini saya lihat facebook masih lagi berfungsi sebagai ‘pisau’ yang boleh mencederakan bahasanya.

2) Menggalakkan dia membaca baca buku cerita, novel atau apa sahaja bahan bacaan untuk meningkat kan kemahiran dia membina ayat. Membina ayat, bukan sahaja perlu di pelajari sebaliknya ia perlu sentiasa dibaca dan digunakan.

3) Saya juga menegah dia menulis singkatan ketika menulis mesej, whatsapp atau apa sahaja medium penulisan. Dia merungut juga. Katanya, susah, penat dan tengok kawan-kawannya menulis dengan ringkas, sedangkan dia terpaksa menulis panjang-panjang.

Pengalaman saya mengajar Bahasa Malaysia, 70% faktor anak-anak mendapat markah rendah untuk penulisan adalah disebabkan masalah ejaan yang disingkatkan.

4) Banyakkan komunikasi dengan mereka. Layan mereka borak seperti orang dewasa dengan bahasa yang sama. Secara tak lansung dia akan banyak mendapat kosa kata yang matang. Ada masa, papanya memang akan beri arahan, “sekarang ialah masa untuk kita semua berbual”.

2016-04-18 14.06.16

Fokus Membaiki Usaha.

Apabila kita sering ‘highlightkan’ usaha berbanding pencapaian, mereka lebih fokus kepada bagaimana mahu memperbaiki usaha bukan memperbaiki keputusan. Keputusan yang baik pasti akan datang dengan adanya usaha yang baik sebelum itu.

Yang penting jangan tinggalkan Allah, dalam setiap pesanan dan titipan kita tentang usaha kepada mereka. Tugas kita memberi maklumat dan pelajaran, sedang Allah memberi kefahaman dan memakbulkan impian melalui semua usaha mereka.

Seusai saya memuji usahanya, dia lantas berkata,

” Ma, masa kakak dapat keputusan ni, kakak teringat papa cakap, Allah tak pernah zalim. Dia akan beri sesuai dengan usaha hambaNya….”

Benarlah, Allah jua memberi kefahaman.