6 Sikap Isteri Yang Membuka Pintu Rezeki Sesebuah Keluarga, Amalkanlah.

Russian Muslim women wearing the Islamic headscarf arrive to attend a celebration of the World Hijab Day in a new store "Irada" in Moscow, Russia, Sunday, Feb. 1, 2015. (AP Photo/Alexander Zemlianichenko)

Kredit Foto: www.huffingtonpost.co.uk

Pendefinisian tentang rezeki ini telah diperincikan oleh Dr Asri dalam laman blognya beberapa ketika dahulu.

Perkataan al-Rizq atau melayu sebut rezeki bermaksud pemberian ataupun kurniaan samada bersifat duniawi ataupun agama. Segala yang boleh dimanfaatkan, samada yang boleh dimakan ataupun tidak boleh dimakan maka itu rezeki. (lihat: Abu al-Baqa al-Kafawi, al-Kulliyyat, 472. Beirut: Muassasah al-Risalah).

Ertinya segala yang kita miliki dari perkara yang bermanfaat ataupun memberikan kebaikan buat kita samada di sudut keperluan dunia semata ataupun untuk agama maka itu adalah kurniaan ataupun rezeki. Rezeki bukan sahaja minuman, makanan, harta, kenderaan dan segala rupa bentuk kebendaan semata, rezeki juga ilmu pengetahuan, kasih sayang, kebahagiaan, anak, isteri, kesihatan, keselamatan, kegembiraan dan seumpamanya. Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi s.a.w menyebut tentang Khadijah: “Aku telah direzekikan cintanya”.

Rezeki tidak hanya tertakluk kepada harta, tetapi juga kasih sayang, cinta, ilmu dan bermacam-macam perkara dan kenikmatan yang terzahir dan dinikmati oleh kita. Isu tentang rezeki bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ianya akan tetap akan hangat dibicarakan selagi kita bernafas. Percayalah.

Dan sebagai seorang isteri, anda sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam membuka pintu-pintu rezeki untuk keluarga anda. Andalah suri dalam rumah tangga, jelmaan malaikat buat anak-anak dan bidadari dunia buat suami. Tidak dinafi betapa penting susuk yang bergelar isteri dan ibu dalam sesebuah rumahtangga itu.

Jadi apakah sikap yang bakal membuka pintu-pintu rezeki sesebuah keluarga?

1. Sentiasa Bersyukur.

Bersyukur.

Memang perkara ni nampak macam mudah, tetapi sebenarnya untuk mendapatkan hakikat syukur yang sebenar-benarnya ini payah tetapi tentu sekali tidak mustahil. Syukur ini boleh diterjemah dan diapresiasikan dalam macam-macam bentuk dan kaedah, melalui hati, lisan dan perbuatan.

Kesyukuran ini bukan sahaja pada ketika Tuhan sedang memberikan kita rezeki yang melimpah ruah, tetapi juga pada ketika Tuhan sedang menguji dengan menarik sedikit demi sedikit rezeki yang pernah dikurniakan. Dan sentiasalah ingat, kita tidak perlu menanti sehingga kita mempunyai aset serta harta yang banyak untuk bersyukur, syukur itu adalah apabila kita merasa cukup dengan apa yang telah diberi.

2. Tawakal.

Tawakal adalah sifat yang sangat disukai oleh Allah. Rasa kebergantungan yang si isteri tunjuk serta zahirkan kepada Allah, akan membuka pintu-pintu rezeki untuk keluarga itu.

Tentu sahaja Allah menyukai apabila hambaNya senantiasa bergantung harap kepadanya. Dan apakah rezeki yang lebih besar daripada kerahmatan serta keredhaan Allah yang maha Esa. Kan?

3. Baik Agamanya.

Ah, mungkin kita perlu letakkan ini pada tangga yang pertama. Tetapi tidak apa-apa, kerana kebiasannya orang-orang dalam golongan yang pertama dan kedua, tentu sekali mempunyai sifat ini.

Yang menjaga ikhtilat dan pergaulan, yang menjaga percakapan dan pertuturan, yang sentiasa berkasih sayang dan yang menunaikan segala perintah dan menjauhi larangannya. Tidak, bukan. Kita bukan sedang bercerita tentang orang yang sempurna tanpa dosa. Tetapi kita berbicara tentang orang yang melakukan dosa, sedar, bertaubat dan berlari jauh meninggalkan kemaksiatan itu.

4. Banyak Beristighfar.

“Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebunkebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Surah Nuh, 71: 10-12).

Istighfar akan menjemput rezeki dari segala sudut serta daripada pelbagai arah yang tidak pun kita sangka. Beristighfarlah selalu.

5. Menyambung Tali Silaturahim.

Imam Bukhari telah meriwayatkan bahwa Rasulullah saw bersabda, “Siapa yang mahu untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya), hendaknyalah ia menyambung (tali) silaturahim.”

Secara lahiriahnya, dengan menyambungkan tali silaturahim, kita akan mempunyai asbab yang lebih kuat untuk mencari rezeki dengan lebih banyak. Iyalah, bayangkan kalau kita menjual sesuatu, tentulah orang yang kenal dan baik dengan kita yang akan beli dulu. Kan?

6. Bersedekah.

Ah, ini memang satu-satunya perbuatan yang sebenarnya ramai yang sudah mengetahuinya.

Cuma kawan-kawan, kadang-kadang kita terlupa untuk melakukannya. Iyalah, pagi memasak, kemudian ke tempat kerja, memasak, makan dan tidur. Terlampau banyak urusan yang perlu diuruskan dalam satu-satu masa.

Untuk itu, jadikanlah sedekah ini sebagai satu tabiat mudah. Sebelum ke tempat kerja beli beberapa bungkus nasi lemak dan kemudian berikan kepada rakan-rakan sekerja kamu.

Buat masa ini, kami tuliskan 6 tips ini dahulu. Amalkan tau & jangan lupa kongsikan dengan rakan anda!

Shares