5 Kesan Buruk Disebabkan Ketagihan Menonton TV. Hati-hati!

boy-183306_1920

Memang mudah untuk suruh anak senyap, pasang sahaja kartun kegemarannya di kaca TV dan puf! Dia akan duduk dengan santunnya beberapa jam di hadapan televisyen. Bukankah baik begitu? Ibu dapat menyiapkan puluhan kerja rumah daripada memasak sehinggalah menyapu halaman tanpa sebarang gangguan.

Ya, memang mudah. Tetapi perkara yang mudah ini lah yang akhirnya menjadi barah. Menjadi penyakit yang tidak punya penawarnya. Kesan daripada didikan ini, anak-anak akan mudah menjadi seorang yang ketagih untuk menonton televisyen. Dan seperti biasa, sesuatu perkara yang diambil secara berlebihan pasti dan pasti akan membawa mudarat kepada orang yang mengambilnya.

Menurut Prof Madya Dr.Bustam Kamri, Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak terdapat banyak kesan buruk terhadap kanak-kanak jika menonton televisyen secara berterusan lebih daripada empat jam sehari. Berikut antara kesan buruk yang mesti diberi perhatian oleh ibu bapa.

1. Berat Badan Bertambah

Mengakibatkan berat badan yang berlebihan dan tingkah laku yang agresif. Secara umumnya, menonton televisyen yang keterlaluan akan memberi kesan obesiti atau kegemukan. Ini diakui oleh pakar kesihatan.

Semasa menonton televisyen kanak-kanak tidak aktif dan akan memakan makanan ringan yang tidak sihat.

2. Pengaruh Buruk Iklan

Dalam pada itu, mereka juga didedahkan dengan lambakan iklan yang menggalakkan makanan yang tidak sihat seperti burger, kentang goreng dan minuman tidak berkhasiat. Pengaruh iklan makanan segera yang tidak berkhasiat mempengaruhi kanak-kanak menjadikan makanan kegemaran dan pilihan utama.

Kajian menunjukkan bahawa semakin kurang kanak-kanak menonton televisyen akan memberi kesan kepada pengurangan berat badan. Pengaruh iklan menerusi selingan rancangan kartun amat memberi kesan terhadap diet pemakanan kanak-kanak terhadap makanan ringan yang tidak berkhasiat.

3. Mata Cepat Rabun

Dalam pada itu, kanak-kanak yang terlalu kerap menonton kartun dalam jangka masa yang lama berdepan dengan kaca televisyen berkemungkinan akan menghadapi masalah mental dan emosi, masalah gangguan mata dan masalah fizikal semakin meningkat.

4. Kurang Sensitif

Kajian psikologi mendapati ada beberapa kesan akibat kanak-kanak kerap menonton keganasan kartun di televisyen iaitu kanak-kanak menjadi kurang sensitif atau peka untuk merasa belas kasihan kepada orang lain yang sedang kesakitan.

Kanak-kanak yang sering terdedah dengan keganasan tidak takut tentang keganasan dan tidak menghiraukan keganasan. Mereka lebih cenderung menjadi agresif atau menggunakan tindakan yang mencederakan orang lain.

5. Tidak Beri Motivasi

Program kartun di televisyen dikatakan tidak memberi motivasi untuk kanak-kanak belajar. Sebaliknya watak-watak kartun menggunakan bahasa yang tidak sesuai kepada kanak-kanak.

Perkataan yang digunakan tidak memberi makna dan berupa cakap kosong. Kebanyakan program kartun menunjukkan perbualan yang mengandungi kurang nilai moral. Hal ini akan mempengaruhi penonton kanak-kanak yang mudah terikut-ikut gaya pertuturan yang digunakan oleh watak kartun.

Satu kajian telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari University of Virginia terhadap kanak-kanak berusia empat tahun, mendapati kanak-kanak yang menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti tanpa melihat kartun sebanyak 70% berjaya menyelesaikan masalah.

Manakala 35% berjaya diselesaikan oleh kanak-kanak yang menonton kartun berunsur pendidikan. Sebaliknya pencapaian terendah sebanyak 15% kanak-kanak yang menonton kartun yang tiada unsur pendidikan langsung.

Konklusinya, tidaklah haram untuk kita memberikan keizinan buat si anak menonton rancangan kegemarannya, walaupun mengharamkan mereka menonton televisyen akan membawa perubahan yang lebih baik. Pilihlah rancangan kartun atau apa sahaja yang dapat meningkatkan daya fikirnya, daya interaksinya dan daya imaginasinya.

Untuk mendidik anak menjadi manusia yang baik memang mengambil masa dan menuntut kita untuk bekerja dengan lebih keras, tetapi ianya berbaloi. Percayalah!

Artikel ini telah disunting daripada artikel asal yang bertajuk : Ketagih Tengok TV, 5 Kesan Buruknya Boleh Ganggu Kepintaran Anak!

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 5,536 times, 10 visits today)