5 Cara Membancuh Susu Yang Betul. Salah Bancuh, Boleh Sakit!

Kita selalu tertanya-tanya, kenapa bayi kita sakit, apa penyebabnya, salah kita kah atau salah persekitaran? Tetapi kita sering mengabaikan perkara-perkara rutin contohnya seperti membancuh susu sebagai salah satu penyebab anak kita menghidap sesuatu penyakit.

Dengan keprihatinan itulah, kami menyiarkan semula artikel yang telah ditulis oleh Puan Hasnita dalam majalah digital Pa&Ma ini sebagai ilmu untuk kita semua. Mudah-mudahan bermanfaat dan jangan lupa sebarkan kepada orang lain.

child-228439_1920

Ya, tidak semua bayi berpeluang minum susu ibu atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Maka susu formula menjadi pilihan untuk memenuhi keperluan nutrisi si manja.

Susu formula bayi boleh diperoleh dengan mudah di pasaran dalam bentuk serbuk yang dipek dalam tin atau kotak. Ia memerlukan anda membancuhnya apabila bayi hendak menyusu.

Arahan pada label tin memberitahu bilangan skup yang betul untuk ditambahkan pada setiap sukatan air. Info ini sangat penting dipatuhi oleh ibu bapa. Anda tidak boleh sesuka hati membancuh susu mengikut sukatan skup yang tidak betul kerana jika bubuh terlalu banyak susu formula, susu yang dibancuh akan menjadi terlampau pekat sehingga mendatangkan bahaya kepada tumbesaran bayi.

a. Berat bayi mungkin bertambah dengan terlalu banyak jika terlalu pekat bancuhan susu.

b. Buah pinggang bayi mungkin akan rosak.

c. Jika serbuk susu terlalu sedikit diletakkan, berat badan bayi mungkin tidak bertambah.

Oleh itu pastikan anda setiasa mengikut arahan pada label tin susu formula anak untuk memastikan dia memperoleh khasiat yang diperlukan.

Ini cara yang betul membancuh susu formula anak!

Peralatan diperlukan

Satu tin susu formula
Botol dan puting susu
Pisau plastik
Kertas tisu dapur

1. Cuci Bersih Peralatan

Gunakan air mendidih untuk membilas peralatan botol susu dan pisau yang disterilkan. Anda perlu menuang keluar air pensterilan, kemudian menuangkan air mendidih ke atas peralatan tersebut. Basuh tangan anda, keluarkan semua peralatan dan letak pada kertas tisu dapur untuk dikeringkan. Lap kering pisau plastik.

2. Guna Air Mendidih

Masak air sehingga mendidih. Jangan gunakan air yang dididih berulang kali atau dibiarkan di dalam cerek, air dari paip air yang dilekatkan dengan penapis air rumah tangga (penapis itu boleh memerangkap bakteria berbahaya) dan air mineral kerana natrium dan mineral mungkin membahayakan bayi anda. Tuangkan air mendidih ke dalam botol susu. Isikan hingga ke sukatan yang sesuai. Periksa pada paras mata. Sukatan mesti tepat untuk membancuh susu dalam kepekatan yang betul.

3. Sukat Susu Dengan Betul

Gunakan skup khas di dalam tin susu formula untuk menceduk susu. Ratakan setiap skup dengan menggunakan bahagian belakang pisau plastik yang telah disterilkan. Jangan isi hingga penuh padat susu formula dalam skup dan jangan tekan susu formula ke dalam skup kerana bancuhan susu bayi akan menjadi terlalu pekat.

4. Bancuhan Tepat

Tuangkan setiap skup susu formula ke dalam botol berisi air. Tambah bilangan skup yang dicadangkan sahaja bagi kuantiti air tersebut. Jangan tambah secara berlebihan. Serbuk susu formula akan larut dengan cepat di dalam air panas.

5. Goncang Botol

Letak cakera dan gegelang penutup pada botol susu. Jangan letakkan puting susu lagi pada masa ini. Tutup botol dengan ketat untuk menghasilkan botol yang kalis udara. Goncang botol dengan baik untuk memastikan bancuhan susu larut dengan betul.

Susu anak anda sudah siap untuk diminum. Pastikan susu tersebut adalah hangat kerana bayi lebih gemar susu yang hangat berbanding sejuk.

Tahukah anda yang bancuhan susu anak boleh disimpan?

Bagi yang sudah mengetahui jumlah sesi penyusuan anak dalam masa 24 jam dan ingin menjimatkan masa bolehlah menyiapkan beberapa bancuhan susu untuk anak. Apa yang anda perlu lakukan adalah seperti berikut.

a. Bancuh susu mengikut jumlah botol yang diperlukan.

b. Tanggalkan cakera dan gegelang penutup. Letak puting susu secara terbalik de dalam botol tetapi pastikan puting tidak terendam di dalam susu. Tuangkan sedikit susu keluar jika perlu. Letakkan kembali cakera dan gegelang untuk menutup botol susu.

c. Tutup botol susu denga penutupnya. Simpan di dalam peti sejuk (bukan pada bahagian pintu) selama tidak lebih daripada 24 jam. Pastikan botol susu berada dalam posisi berdiri.

Setiap kali bayi hendak minum susu anda boleh panaskan susu seperti berikut:

a. Ambil sebotol susu dari peti sejuk dan betulkan kedudukan puting ke arah atas. Panaskan di dalam air hangat. Jangan gunakan ketuhar gelombang mikro kerana susu mungkin menjadi terlalu panas walaupun bahagian luar botol masih terasa sejuk.

b. Periksa pengaliran susu. Susu sepatutnya keluar dua atau tiga titis sesaat. Lubang yang terlalu kecil akan menyebabkan susu sukar dihisap. Manakala lubang terlalu besar menyebabkan susu menyembur keluar.

c. Uji suhu dengan cara menitiskan beberapa titisan pada bahagian dalam pergelangan tangan anda. Susu sepatutnya berasa suam-suam kuku.

d. Putar gegelang botol supaya berada pada kedudukannya di atas botol untuk membenarkan udara masuk ketika bayi anda menghisap susu keluar. Ini mengelakkan puting daripada jatuh dan menghentikan pengaliran susu.

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 12,624 times, 4 visits today)