Adab Ketika Bersama Anak Kecil

2 Kesan Sangat “Power” Apabila Membiasakan ‘Maaf’ dan ‘Puji’ Kepada Anak.

“Adik, kenapa sepahkan permainan ni. Mama dah pesan tadi jangan sepahkan lagi.”

“Mama ni asyik marah adik sahaja, bukan adik yang buat tapi abang. Selalu adik sahaja yang mama marahkan”

Situasi ini sering berlaku kepada ibu bapa yang memiliki lebih dari seorang anak. Kadangkala, disebabkan tekanan atau kepenatan sibuk menguruskan kerja dan rumahtangga kita cenderung memarahi mereka tanpa usul periksa.

Lebih mencabar sekiranya kita memarahi orang yang salah, sehingga menyebabkan yang tertuduh berasa mengapa mereka yang sering dipersalahkan. Perkara ini jika berlanjutan boleh menyebabkan emosi mereka tercedera.

Kadangkala kita tidak sedar dan merasakan anak-anak boleh melupakan sahaja perlakuan kita. Emosi yang tercedera sangat memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang.

Kita akan lihat, mereka mula menunjukkan reaksi memberontak, lebih-lebih lagi jika ada di kalangan anak-anak ini yang suka memendam berbanding meluahkan rasa ketidak puasan hati mereka.

Ambillah langkah untuk membetulkan keadaan sebelum ianya berlarutan sehingga boleh menyebabkan mereka mencipta istilah “saya bukan anak kesayangan ibu ayah”. Mereka merasakan mereka adalah ‘punching bag’ untuk ibu ayah melepaskan kemarahan mereka.

Bagaimana mahu membetulkan keadaan serta persepsi mereka terhadap kita? Ya, mulakan dengan 2 perkara ini apabila secara tidak sedar kita melukakan perasaan mereka.

1. Meminta Maaf

Setiap apa yang kita lakukan mengguris perasaan mereka haruslah di ‘cut off’ dengan ucapan maaf. Nampak mudah, namun melaksanakannya amatlah susah kerana kadangkala ego ibu bapa ini sangat tinggi.

Jiwa anak-anak terlalu halus dan mudah memaafkan sekiranya kita dengan rendah diri memohon maaf atas keterlanjuran memarahi atau pun menasihati sehingga melukakan perasaan mereka.

Cari masa yang tenang sebaiknya berdua untuk meminta maaf kepada mereka. Kesannya, mereka sendiri mengakui kesilapan itu dan akhirnya memohon maaf semula kepada kita kerana keadaan yang tenang lebih mudah mendapatkan tindakan positif.

2016-04-15 17.17.11

2. Puji Segala Kebaikannya.

Senakal mana pun si anak, pasti ada satu kebaikan yang dilakukannya. Sewaktu meminta maaf, selang selikan dengan kata-kata pujian terhadap apa kebaikan yang pernah mereka lakukan.

Kesannya mereka akan rasa di sayangi dan dihargai. Mereka lebih terbuka menerima teguran dan mengakui kesilapan kerana mereka sedar ada sisi kebaikan mereka yang kita pandang selama ini.

Kerana kita manusia, sebagai ibu bapa, mahu pun sebagai anak pasti pernah melakukan kesilapan. Sebenarnya, dengan membiasakan maaf dan puji, anak-anak akan melakukan perkara yang sama setiap kali mereka juga membuat kesilapan dengan kita.

2016-04-15 17.17.50

Namun, ada kesan yang lebih hebat apabila anak-anak ini sudah terbiasa dengan maaf dan pujian. Berdasarkan pengalaman, anak-anak yang sering di ajarkan maaf dan pujian lebih mudah untuk BERTAUBAT dan BERSYUKUR.

Apabila mereka senang mengaku kesilapan dengan manusia, mereka senang bertaubat dan mengaku kesilapan dengan Allah. Apabila mereka selalu dipuji tentang kebaikan, mereka juga akan kerap bersyukur dengan nikmat Allah.

Subhanallah, hanya dengan membiasakan maaf dan puji, mereka dapat manfaat yang lebih besar daripada itu. Jadi, mulakan hari ini dengan kita sendiri sebagai model utama mereka memulakan dua perkara ini!

Sertai Dropship PinkLady Sekarang Di Sini: [Klik]
(Visited 2,149 times, 1 visits today)