10 Tips Ini Akan Membantu Golongan Isteri ‘Survive’ Beraya Di Rumah Mertua

old-lady-845225_1920

Sebelum kita membaca perkongsian Tuan Fdaus Ahmad berkaitan tips untuk survive beraya di rumah mertua ini, elok rasanya kalau kita memahami dengan lebih mendalam apa sebenarnya maksud perkahwinan yang sebenar.

Dalam buku Undang-undang Keluarga Islam, Aturan Perkahwinan, Suatu Pendekatan Berdasarkan Amalan Semasa mendefinisikan perkahwinan sebagai  suatu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan muhrim dan menimbulkan hak serta kewajiban antara kedua-dua mereka.

Manakala dalam pengertiannya yang lebih luas perkahwinan adalah satu ikatan lahir di antara dua orang, lelaki dan perempuan untuk hidup bersama di dalam sebuah rumahtangga di samping melahirkan zuriat sebagai meneruskan kelangsungan hidup manusia menurut batas-batas (disiplin) hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syarak.

Kawan-kawan, yang sebenarnya apabila kita sudah bersetuju untuk menerima mereka sebagai pasangan, maka jelas kita juga bersedia untuk menunaikan segala hak serta kewajipan yang dipikul oleh mereka. Salah satunya apa?

Ya, betul. Keluarga.

Menjelang hari raya ini, ramai yang akan pulang ke kampung. Mungkin tahun lepas giliran anda, dan tahun ini giliran untuk menyambutnya di kampung suami. Mungkin untuk sebahagian orang, bermesra dengan ahli keluarga, sanak saudara, ipar duai serta biras bukanlah sesuatu yang sukar, tetapi buat sebahagian manusia ianya sukar.

The struggle is real.

Untuk itu, kami menerbitkan semula 10 tips yang telah ditulis dan dimuatnaik oleh Tuan Fdaus Ahmad di laman profil Facebooknya. 10 tips ini buat kami sangat membantu, dan kami yakin anda juga akan bersetuju dengan kami.

1. Buah Tangan.

Benda basic, belikan buah tangan. Sebaiknya buah tangan yang anda belikan tu berupa pakaian. Kain, baju, atau tudung. Kenapa pakaian? Ya betul, pakaian ni tahan lama dan bila mereka pakai mereka akan ingat orang yang hadiahkan mereka pakaian itu.

Esok dah raya. Dalam perjalanan pulang ke kampung nanti singgahlah mana-mana belikan buah tangan untuk mertua. Serius, mereka bukan minta H&M atau Prada pun sebagai buah tangan.

2. Jadilah Orang Dapur.

Pandai masak atau ‘biasa-biasa’ je bukan persoalannya, untuk awal-awal ni ambillah satu spot kat dapur. Paling baik anda tawarkan khidmat untuk memotong dan menyiang. Kalau hebat masak sekali pun, jangan terus tunjukkan kehebatan dengan menawarkan diri untuk memasak.

Biar mak mertua yang uruskan hal masak menu utama. Kena ingat, tu rumah dia, dia dah berpuluh tahun masak untuk hari raya, jadi jangan kacau air tangan masakan mak mertua tu. Lagipun bukan senang nak kumpulkan anak-anak dan cucu-cucunya dekat rumah ni, mesti mereka nak bagi makan air tangan mereka.

3. Tolak Ansur.

Untuk menantu bertudung, mungkin di kampung mertua nanti tidak ada penyaman udara, atapnya pun zink, batanya pun mungkin jenis yang murah, ramai pula tu. Jadi panas, berkuap, kipas tak kuat, kena tidur ruang tamu atas toto, tak selesa, rambut busuk apa semua ni anda memang kena jangka dan bersedia daripada awal. Jadi bila tiba masanya, bertenanglah.

Biasa lah bila kumpul adik beradik ramai ramai, kena lah berpayah. Kalau asyik merungut nak selesa macam duduk kat rumah sendiri, eloknya beraya lah di KLCC.

4. Fesyen.

Ingat, anda bukan sahaja kena ambil hati mertua tapi perlu juga ambil hati ipar duai dan biras. Nampak macam susah kan, sebenarnya tak pun. Sebab orang perempuan ni kan suka fesyen, jadi sebelum sampai kampung nanti Google dulu tentang fesyen lagi-lagi yang berkaitan dengan busana muslimah.

Benda ni sangatlah berguna bila anda nak berborak dengan adik ipar, kakak ipar dan anak saudara remaja. Jangan semua benda ambil mudah, nanti orang bercerita pasal butik MCC, Calaqisya, trend bunga dokoh, tudung double loop apa semua anda terpinga-pinga. Bila anda ambil tahu serba sedikit, senanglah nak berborak, masuk klik mereka.

5. Bekerja.

Balik raya di rumah mertua ni kenalah pandai-pandai bawa diri. Jangan asyik duduk depan TV sahaja.

Masa hari raya nantu, seeloknya cop satu job yang mudah tapi sentiasa diperlukan. Contoh paling senang bancuh air dan top up bekas kuih raya. Tak perlulah semua perkara pula nak tawarkan diri, nanti penat. Cukuplah fokus satu kerja dan konsisten lakukannya.

Selain daripada contoh diatas, kalau lebih rajin bolehlah ambil tugas untuk basuh pinggan mangkuk atau hal-hal harian yang lain seperti cuci dan sidai pakaian.

6. Bangun Awal.

Tak ada mak ayah yang suka anak perempuannya bangun lewat. Disebabkan anda telah menjadi sebahagian daripada ahli keluarga, maka anda juga termasuk dalam klausa anak perempuan itu.

Bangun awal dan terus ke dapur teman mak mertua. Pagi-pagi ni kebiasannya kerja pun tidaklah banyak, tapi anda turunlah borak-borak dan bancuhkan air panas untuk seisi rumah. Dah siap semua, panggil suami anda untuk turun bersarapan. Haaa, nampaklah yang anda menjaga anak mereka (suami) dengan baik. Kan?

7. Mak Mertua Always Win.

Bila anda dah rancang satu perkara yang melibatkan suami anda, tiba-tiba suami anda beritahu yang mak dia pun ada rancangan lain melibatkan dia, anda kena menangkan mak mertua. Contoh mudah nak faham, suami anda dah janji nak bawak ke A, tiba-tiba mak dia (mak mertua anda) ajak pergi B, beralah lah. Sebab utama, tu je masa-masa mak mertua anda ada dengan anak lelaki dia, jadi bagi priority kat dia. Jangan tarik muka pula, sebab bila anda tarik muka ada dua masalah yang akan timbul:

1. Suami jadi serba salah.
2. Mak mertua anda tahu yang anda tak bersetuju.

Anda pun tahu betapa hebatnya firasat golongan mak ni, dia tengok sekali air muka anak dia dah tahu kalau ada benda yang tak kena.

Cara nak faham benda ni mudah, bayangkan sahaja bila anda dah jadi ibu tua nanti. Letakkan situasi sekarang, anda pun akan harap anak akan teman anda dan lebih pentingkan anda masa hari raya. Kan?

8. Jadilah Pihak Yang Berkecuali.

Jangan ada sebarang pakatan dengan siapa-siapa pun kalau ada benda yang buat kau semak. Trust no one except suami anda sendiri. Ambil jalan tak berpihak dengan sesiapa. Kalau ada sorang menantu lain suka mengelat, jangan mulakan sesi mengumpat dan jangan pernah nyatakan ketidak-puasan-hati. Biar lah biras lain nak mengadu dan mengumpat, tapi bukan anda.

9. Beri Perhatian Yang Lebih Kepada Mak Mertua.

Banyak bagi perhatian pada mak mertua. Macam yang selalu anda buat pada mak anda. Bila dia sedang buat satu-satu kerja berseorangan, dekati dia dan borak-boraklah dengan dia. Tak, tak perlu tolong pun (melainkan tugas tu memang perlukan bantuan), borak-borak pun sudah memadai. Sekurang-kurangnya dia tidaklah bosan.

10. Menangkan Anak Orang Lain.

Sentiasa menangkan anak ipar duai anda. Kalau anak-anak main sama-sama, ada rebut-rebut barang, kalau anda nak masuk campur, satu-satunya perkara yang perlu anda lakukan adalah menangkan anak orang lain. Ipad atau tablet suruh anak kau kongsi, atau bagi pinjam ke sepupu dia. Tunjukkan sikit toleransi tu. Pasangkan Didi and Friends suruh tengok sama-sama.

10 tips ini asalnya telah disunting oleh Tuan Fdaus Ahmad di laman profil Facebook peribadinya dan sebahagiannya telah disunting oleh kami.

Jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan yang lain.

Shares